Kesan buruk kepada umat dan alam bila Islam lemah

    KUALA KANGSAR: Setiap Muslim berperanan menyampaikan agama ini agar seluruh umat manusia dapat diselamatkan dengan Islam, kerana jika sebaliknya, alam ini akan mengalami kerugian.

    Advertisement

    Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, apabila umat dan agama Islam berada dalam keadaan lemah dan tidak berdaya, maka ajaran Islam tidak akan diikuti umat manusia.

    Terangnya, ketika itu bukan sahaja orang Islam akan menerima pelbagai akibat buruk, tetapi orang bukan-Islam juga akan turut merasainya, berbeza ketika Islam kuat dan memerintah.

    Peringatan tersebut dinyatakan beliau dalam slot Talaqqi Tafsir Al-Quran Surah Muhammad pada Ijtimak Tarbawi 7.0 di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini pagi tadi.

    Menurut beliau, ketika Islam kuat dan memerintah menurut syariat Allah, orang bukan-Islam bahkan makhluk-makhluk lain juga akan menikmati kebajikan dan kebaikan Islam itu sendiri.

    Sehubungan itu, amat penting setiap Muslim bersungguh-sungguh memberi perhatian untuk memastikan agama Islam dapat disebar sampaikan serta diterima oleh setiap umat manusia.

    Beliau turut menyangkal perkiraan dangkal sesetengah pihak yang meletakkan perjuangan mereka itu sama sebagaimana PAS di mana difahamkan beliau dengan kisah tentera terkorban dalam Perang Uhud.

    Menurutnya, masing-masing terkorbannya 70 anggota dari kaum Muslimin dan Musyrikin tidaklah berlaku secara kebetulan, sebaliknya Allah mahu menunjukkan satu nilaian terhadap hal itu.

    Bentang beliau, ianya diperjelaskan oleh Rasulullah S.A.W apabila mengatakan orang Musyrikin yang terkorban itu duduk dalam neraka dan para syuhada’ kaum Muslimin berada di syurga. – HARAKAHDAILY 16/11/2019