Pejuang harus ikat diri dengan takwa, jauhi dosa

    KUALA KANGSAR: Perbuatan maksiat akan mengikat diri hingga tidak melakukan amal amal soleh atau berada jalan Allah, oleh itu pejuang wajib mendekatkan diri kepada Allah dengan melazimi taubat.

    Advertisement

    Mantan Ketua Ulamak PAS Negeri Perak, Tuan Guru Sidek Mohd Nor berkata, Ibnu Abbas di dalam tafsirnya menghuraikan bahawa takwa itu bermakna taat dengan melakukan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

    “Dalam pada musuh memfitnah kita (PAS), kita tetap harus terus berjalan. Bukan tugas kita untuk membalas semua tohmahan mereka. Jangan basuh air najis dengan air najis. Jangan dilayan teknik strategi musuh yang melakukan kemungkaran dan kemaksiatan kepada Allah.

    “Perjuangan kita ini merupakan perjuangan yang jauh. Kita tak tahu bila kita menang. Kezaliman itu walaupun memakan masa yang cukup panjang, tetapi ianya tidak akan berkekalan. Kebenaran ini biarpun lemah dan didokong oleh orang-orang yang lemah, yakinlah pasti akan diberi kemenangan oleh Allah S.W.T.

    “Oleh kerana perjuangan kita memakan masa yang panjang, maka kita memerlukan bekalan yag secukupnya. Kalau bekalan tak cukup, takut kita kecundang. Ibarat sebuah kereta. Biarpun ia cantik, namun jika tanpa minyak maka ia tidak dapat berfungsi sebagai sebuah kereta. Ia cuma jadi besi.

    “Kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri bukti pentingnya bekalan yang cukup ini. Jika tiada bekalan kita boleh hilang stamina,  kita boleh kecundang, kita boleh lemah. Timbalan Presiden PAS, Naib-naib Presiden PAS, AJK PAS Pusat, kecundang satu persatu,” ujarnya menyedarkan.

    Beliau mengupas perkara tersebut dalam Kuliah Subuh: ‘Membina Benteng Keimanan Perjuangan Islam’ pada Ijtimak Tarbawi 7.0 Pemuda PAS di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini awal pagi ini. 

    Tegas beliau, perkara paling penting adalah kefahaman yang juga menjadi hal pertama dalam rukun baiah di mana dapat dilihat golongan memperlekeh usrah gugur satu demi satu.

    Malah katanya, Imam Syahid Hassan Al-Banna mengatakan, usrah itu merupakan tulang belakang dalam jemaah, bermaksud tanpa tulang belakang pejuang tidak boleh bergerak dan akan lumpuh.

    “Jika kita nak masuk syurga sebagai seorang Nabi, kita bukanlah Nabi kerana mana ada Nabi selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W.

    “Kita bukanlah wali, nak masuk syurga namun kita boleh masuk syurga dengan menyambut jual beli yang ditawarkan oleh Allah iaitu dengan menjadi pejuang Islam,” ujarnya memetik kata-kata As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya.

    Tuan Guru juga mengingatkan bahawa pejuang harus memiliki keyakinan terhadap janji-janji Allah yaknilah berjual beli dengan Allah iaitu beriman dan berjihad dengan harta benda dan jiwa raga kita.

    Sementara Allah katanya, menyediakan tawaran iaitu mengampun dosa mereka itu dengan memasukkan ke syurga yang dibawahnya mengalir anak anak sungai yakni Jannatul Adnin di Syurga kelak.

    “Satu lagi tawaran Allah yang menggembirakan kamu semua iaitu kemenangan pertolongan daripada Allah S.W.T, (pembukaan yang hampir). Kita buka dulu Malaysia ini dengan peraturan hukum hakam Allah. Allah telah menjanjikan bahawa apabila datangnya pertolongan Allah, maka tiada siapa yang boleh menghalangnya, ia pasti akan berlaku.

    “Kadang-kadang kemenangan yang Allah anugerahkan itu diluar jangkaan kita. Contohnya di Acheh. Orang beratus-ratus ribu mati untuk perjuangkan Islam. Tiba-tiba berlaku tsunami.

    “Dengan kehendak Allah, Allah turunkan pendamaian dengan menggerakkan hati Presiden Indonesia untuk mengajak kepada perdamaian. Selepas itu, Acheh sedikit demi sedikit melaksanakan perintah Allah,” jelasnya.

    Beliau juga menekankan bahawa sebagai pejuang Islam, perlu benar-benar yakin bahawa masa depan Islam itu cemerlang di mana Allah akan mengangkat pemimpin yang akan menjulang Islam untuk memimpin negara kita suatu hari nanti. – HARAKAHDAILY 16/11/2019