Pemuda mesti jayakan Kerajaan Teknokrat digagas Presiden

    KUALA KANGSAR: Membina sebuah negara mestilah berasaskan ilmu pengetahuan dan bukan semata-mata hamasah  atau semangat kerana melibatkan banyak perkara yang mesti menjadi pertimbangan.

    Advertisement

    Pengerusi Akademi Tarbiyah (AKTAR) Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohamad Hanif Haron berbicara dalam Forum Tarbawi 3 Dewan di program Ijtimak Tarbawi 7.0 di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini hari ini.

    “Mantapkan ilmu pengetahuan menjadi sangat penting kepada setiap individu khususnya para Pemuda, namun kita tahu mustahil untuk seseorang itu menjadi pakar semua bidang.

    “Akan tetapi jika ianya dikongsi dan digerakkan secara berjemaah pastinya memberi manfaat kepada keseluruhan kita,” ujar beliau.

    Beliau turut menegaskan bahawa para Pemuda berperanan untuk bergerak serta memperjuangkan Islam dengan asas paling utama adalah memantapkan thaqafah dan ilmu pengetahuan.

    Malah katanya, sekaligus akan menjayakan idea dan gagasan Tuan Guru Presiden untuk membentuk sebuah Kerajaan Teknokrat yang mengutamakan kualiti perkhidmatan kepada rakyat dan negara.

    “Apabila berilmu, Insya-Allah kita sentiasa bersedia melakukan apa sahaja demi Islam dengan mencontohi anak muda Sahabat Rasulullah,” tambah Ustaz Hanif lagi.

    Kefahaman dan kehebatan anak muda Sahabat Rasulullah S.A.W serunya, wajar dicontohi yang mana mereka sanggup mempertahankan nyawa dan menginfak segala harta benda.

    Beliau digandingkan bersama ahli panel forum, Pengerusi Lajnah Tarbiyah Ulamak PAS Pusat Ustaz Zulkarnain Hassan dan Pengerusi Lajnah Tabiyah Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor. – HARAKAHDAILY 16/11/2019