Baiki dulu masalah dalaman PAN Kedah

ALOR SETAR: Timbalan Pengerusi PAN Kedah, Dato’ Dr Ismail Salleh, dinasihatkan agar memperbaiki masalah dalaman parti sendiri dahulu sebelum berangan untuk menyerang kubu parti orang lain.

Advertisement

Mengulas kenyataan itu yang disiarkan oleh sebuah akhbar di sini, Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, andai masalah dalaman parti sendiri pun tidak mampu diselesaikan, janganlah berhasrat hendak kucar kacirkan kubu parti lawan.

“Jika rumah sendiri berdindingkan kaca, jangan baling batu ke rumah orang. Jangan ingat hendak serang orang sahaja. Tinjau-tinjau dan tengok juga serangan orang kepada kubu sendiri. Sesama rakan Pakatan Harapan (PH) pun bertembung antara satu sama lain,” bidas beliau.

Katanya lagi, sewajarnya mereka lebih menumpukan tanggungjawab sebagai kerajaan dengan menunaikan janji-janji dan berusaha menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat.

“Turun ke bawah, selami masalah nelayan, petani dan penoreh getah, saban waktu mereka terbelenggu dengan kesempitan hidup. Walaupun sudah bertukar kerajaan namun nasib golongan itu tetap juga tidak berubah walhal sebelum ini Malaysia Baharu menjanjikan kesejahteraan hidup rakyat.

“PAS sudah masak dengan serangan dari pihak lawan, bukan sehari dua tapi berpuluh-puluh tahun tapi jangan ingat kami senang-senang nak menyerah diri..

“Mereka juga kena ingat, PAS juga memberi cara dan strateginya tersendiri. InsyaAllah kami juga ada cara untuk menjaga kubu-kubu kami,” ujar Ahmad lagi.

Justeru itu, katanya dalam kenyataan Ismail itu, secara tidak langsung mengakui Muafakat Nasional antara PAS dan Umno merupakan ancaman kepada PAN dan rakan sekutunya, sedangkan sebelum ini mereka menafikannya.

“Jadi nasihat saya, tidak perlu susah payah, pening kepala fikir strategi bagaimana nak serang kubu PAS sebaliknya laksanakan mandat rakyat PRU14, tidak perlu tergopoh-gapah fikir pasal PRU15. Yang ada pun tak terbuat, ini berangan pula nak mandat lagi,” sindir beliau. – HARAKAHDAILY 17/11/2019