Kukuhkan diri dengan jemaah untuk berjaya

    KUALA KANGSAR: Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam ucapannya di Ijtimak Tarbawi 7.0 di sini, semalam menerangkan bahawa PAS dalam bersiyasah bukanlah mengejar isi dunia, tetapi untuk mendapat balasan akhirat.

    Advertisement

    “Kita (ahli PAS) mesti bekerja keras untuk Islam dan berusaha sama mengejar balasan akhirat, bukan berjuang dan terlibat dengan PAS kerana hendakkan kuasa dan pangkat.

    “Seorang ahli yang menganggap dirinya pejuang perlu sentiasa perkukuhkan istiqamah dan sentiasa duduk dalam Jemaah. Hal ini kerana, kita belajar dalam Jemaah, duduk dan makan pun dalam Jemaah.

    “Hal Jemaah ini membuktikan bahawa ia adalah satu antara perkara-perkara yang menjadi pengikat istiqamah dalam diri kita.” ujarnya di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini.

    Menerangkan mengenai prinsip istiqamah, beliau turut mengupas berkenaan ujian dunia dan cabarannya yang perlu dihadapi para pejuang ketika menjalani kehidupan dan perjuangan.

    “Tipu daya dunia ini sangat manis, ia tidak mengira tahap ilmu atau kepakaran seseorang. Mereka yang kurang sabarnya akan kalah dan termakan dengan keindahannya.

    “Ramai dalam kalangan pimpinan yang terdahulu tamak dan tidak sabar untuk mencapai kemenangan. Akhirnya, ketika diuji dengan kemenangan, mereka memperoleh pendapat berpuluh ribu ringgit, terus hilang jatidiri perjuangan,” peringatnya.

    Tambahnya lagi, suatu kemenangan itu mestilah diurus dengan tarbiyah dan kefahaman agama agar setiap ahli berjaya mengurus kemenangan dengan baik dan istiqamah selari dengan Islam. – HARAKAHDAILY 17/11/2019