Masjid Babri: Menangisi hilangnya satu mercu tanda umat

Advertisement

Perobohan Masjid Babri di India pada tahun 1992 adalah di antara peristiwa sedih yang berlaku ke atas Dunia Islam pada era 1990an, disamping peristiwa peperangan yang berlaku di Iraq dan penghapusan etnik terhadap umat Islam Bosnia dan Kosova yang mengorbankan ratusan ribu nyawa. Pencerobohan Masjid Babri telah menjadi episod duka buat umat Islam di India kerana ia telah menjadi simbol keagungan umat Islam di India dan telah didirikan hampir 500 tahun yang lalu.

Namun setelah 27 tahun peristiwa tersebut berlalu, pada tanggal 10 November 2019 yang lepas Mahkamah Tertinggi India memutuskan tapak masjid itu diserahkan kepada penganut Hindu untuk dibina di atasnya kuil Hindu yang didakwa menjadi tempat kelahiran dewa Rama dan menggantikan sekeping tanah seluas dua hektar kepada umat Islam sebagai ganti untuk dibina masjid. Keputusan ini mendapat respon yang begitu negatif oleh umat Islam di India yang berjumlah lebih 180 juta orang di mana mereka merupakan golongan minoriti di India yang penduduknya berjumlah lebih 1.3 billion orang.

Kes ini berlanjutan begitu lama kerana sensitivitinya terhadap penganut Hindu dan umat Islam di India hingga mencetuskan ketegangan agama akibat perebutan tapak Masjid Babri. Justeru itu ramai yang berpandangan bahawa pihak mahkamah akan memberikan hak tapak masjid itu kepada umat Islam kerana fakta sejarah yang ianya dibina lebih awal di situ berbanding kuil Hindu yang tidak ada apa-apa binaan pun pada ketika itu, hanya alasan kosong yang tidak ada bukti bahawa Dewa Rama yang menjadi salah satu dewa Hindu dilahirkan di situ.

Ditambah lagi bahawa pihak mahkamah juga mengakui yang Masjid Babri tidak dibina di atas tapak kuil Hindu, bermakna ketika masjid itu dibina, tapak itu tidak ada apa-apa binaan di atasnya. Walaupun dengan bukti yang kukuh dan diakui oleh Mahkamah serta berduka dengan keputusan tersebut di mana umat Islam terpaksa melupakan malah melepaskan tapak asal Masjid Babri, umat Islam mengambil sikap terbuka dan matang dengan menerima keputusan mahkamah tersebut dan menyeru agar tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan ketegangan seterusnya mencetuskan kekacauan.

Dalam satu kenyataan akhbar bersama, pemimpin-pemimpin umat Islam India menyeru agar mahkamah merujuk kembali keputusan itu dengan mengambil kira fakta-fakta di atas. Syed Saadatullah Husainy, Amir Jamaat Islami India dalam satu kenyataan menyebut bahawa keputusan mahkamah itu adalah satu perkara yang menyedihkan dan bercanggah dengan nilai-nilai keadilan dan dalam masa yang sama menegaskan bahawa umat Islam percaya dan menghormati undang-undang.

Beliau juga menegaskan tuntutan umat Islam terhadap Masjid Babri dibina di atas asas menghormati kemuliaan masjid yang telah dinodai dan diroboh, yang tidak boleh diganti dengan sekeping tanah. Dalam masa yang sama Qasim Rasul Ilyas, Pengerusi Masjid Babri dalam satu kenyataan menegaskan keputusan mahkamah itu meragukan dan menolak untuk menerima tanah sebagai ganti kepada tapak Masjid Babri.

Sejarah Masjid Babri

Masjid Babri atau Masjid Babur terletak di bandar Ayodha, di Utara India dan merupakan masjid terbesar dalam wilayah Uttar Pradesh. Masjid Babri terletak di atas sebuah bukit yang dinamakan Ramkot di mana menurut kepercayaan masyarakat India ia adalah tempat lahirnya Dewa Rama. Masjid Babri dibina oleh Jeneral Mir Baqi pada tahun 1528 – 1529 setelah diarahkan oleh Sultan Babur iaitu salah seorang sultan zaman Kerajaan Mughal.

Konflik di antara penganut Hindu dan umat Islam berkenaan tapak Masjid Babri telah lama berlanjutan dan bermula seawal kurun ke 18 lagi. Namun pada kurun ke 19, konflik tersebut menjadi semakin berat hingga dibawa ke mahkamah untuk menyelesaikannya. Ianya menjadi bertambah rumit apabila pada tahun 1949, aktivis – aktivis hindu yang bersama dengan Hindu Mahasabha, sebuah parti politik berhaluan kanan di India secara rahsia telah menempatkan patung Dewa Rama di dalam Masjid Babri.

Peristiwa tersebut telah mencetuskan ketegangan dan kekacauan di antara penganut Hindu dan umat Islam hingga memaksa Kerajaan India ketika itu mengunci masjid tersebut untuk mengelakkan berlakunya lagi peristiwa seumpama itu serta untuk meredakan ketegangan yang semakin parah. Umat Islam dan penganut Hindu setelah dihalang untuk memasuki masjid oleh Kerajaan India masing – masing telah memfailkan kes di mahkamah untuk mendapat kebenaran memasuki masjid tersebut yang mana ianya menunjukkan betapa kritikalnya pertelagahan tersebut.

Pada tahun 1980, kumpulan Vishva Hindu Parishad ( VHP ) sebuah organisasi Hindu berhaluan kanan telah memulakan kempen membina sebuah kuil untuk Dewa Rama di tapak Masjid Babri. Kempen tersebut juga turut disertai oleh Bharatiya Janata Party ( BJP ) yang bertindak sebagai suara politik untuk kempen tersebut. Kempen tersebut telah menganjurkan perhimpunan di seluruh India berserta Ram Rath Yatra iaitu perhimpunan berasaskan agama dan politik yang dipimpin oleh L.K. Advani untuk mendapat mendapatkan sokongan padu penganut Hindu bagi membina kuil tersebut.

6hb November 1992 adalah tarikh peristiwa hitam pencerobohan dan perobohan Masjid Babri berlaku. Kumpulan VHP dan parti BJP telah mengadakan pehimpunan di tapak Masjid Babri yang dihadiri seramai 150,000 orang penyokong mereka. Perhimpunan yang pada mula aman bertukar menjadi ganas sehingga mencetuskan rusuhan. Dengan jumlah penyokong kumpulan tersebut yang lebih ramai daripada jumlah anggota keselamatan, rusuhan tersebut telah mengakibatkan perobohan Masjid Babri oleh perusuh tersebut. Peristiwa tersebut telah menyebabkan berlakunya rusuhan di serata India di antara penganut Hindu dan umat Islam yang telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa terutamanya umat Islam.

Sebelum keputusan Mahkamah Tertinggi India baru – baru ini yang menyerahkan tapak Masjid Babri kepada penganut Hindu, pada September 2010 Mahkamah Tinggi Allahabad membenarkan tuntutan penganut Hindu ke atas tapak Masjid Babri dengan memberikan hak 2/3 daripada keseluruhan tapak masjid tersebut untuk membina kuil Dewa Rama manakala 1/3 lagi diberikan kepada umat Islam untuk membina masjid. Keputusan tersebut telah dirayu oleh kedua – dua pihak ke Mahkamah Tertinggi India sehinggalah terhasilnya keputusan sekarang.

Dunia Islam Makin Hanyut.

Dengan melihat senario yang berlaku kepada Dunia Islam saat ini termasuk mengambil kira apa yang sedang berlaku ke atas umat Islam di India berkaitan isu tapak Masjid Babri, Dunia Islam dilihat makin hanyut ditelan arus zaman. Kekuatan yang ada pada umat dan Dunia Islam semakin hari semakin rapuh hingga terpaksa tunduk kepada dunia yang memusuhi serta menindas umat Islam.

Bukan sahaja di India, ianya termasuk juga Xinjiang, Rakhine, Iraq, Syria, Afghanistan, Yemen dan paling utama Palestin yang menampakkan betapa lemahnya umat dan Dunia Islam di mata dunia. Permusuhan dan penindasan terhadap umat dan Dunia Islam yang berlaku di seluruh dunia termasuk sikap Islamophonia terhadap umat Islam menguatkan lagi pandangan bahawa kelemahan umat dan Dunia Islam berpunca daripada sikap dan mentaliti umat dan Dunia Islam itu sendiri.

Lebih memeritkan apabila berlaku penindasan dan kezaliman terhadap sesama umat dan Dunia Islam seperti yang berlaku sekarang di beberapa tempat di dunia. Penindasan dan kezaliman tersebut yang membawa kepada kekacauan dan peperangan sesama Islam langsung tidak membawa faedah malah membawa mudharat dan memburukkan umat dan Dunia Islam itu sendiri sehingga ditakrifkan sebagai pengganas.

Kelemahan ini sebenarnya terjadi apabila umat dan Dunia Islam tidak berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar serta meninggalkan ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW. Perkembangan sejarah Islam mampu membawa kita melihat dengan teliti sebab bangun dan jatuhnya sesebuah Kerajaan dan tamadun Islam. Ketika gemilang, sejarah membuktikan bahawa umat Islam berpegang teguh kepada ajaran Islam namun ketika jatuh, umat Islam leka, hanyut dan bermegah – megah hingga melupakan ajaran Islam.

Sejarah turut membuktikan bahawa ketika gemilang, umat Islam kuat bersaudara dan bersatu padu namun ketika jatuhnya umat Islam sombong, mementingkan diri sendiri dan berpecah belah. Sayangnya umat dan Dunia Islam hari ini tidak mahu mengambil iktibar dari sejarah lalu kerana menganggap sejarah hanya sebuah kisah yang hanya sesuai untuk dibukukan serta dibaca. Sampai bilakah umat dan Dunia Islam harus begini, dipencilkan, dihina dan dipandang keji ? Selagi tidak ada kesedaran mahupun pencetus kebangkitan, Dunia Islam akan terus ketinggalan, dirundung kegelapan dan ditelan zaman.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Burok.