Empat pengajaran daripada Tanjung Piai

PILIHAN raya kecil Tanjung Piai telah melabuhkan tirai, dan menatijahkan keputusan di luar jangka.

Advertisement

Terlalu pahit untuk Pakatan Harapan menerima keputusan ini kerana sebagai penyandang, kedudukan sebagai Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pastinya memberikan kelebihan kepada mereka.

Namun pengundi di Tanjung Piai telah membuat keputusan yang sebaliknya, dengan memberikan kemenangan kepada calon MCA yang mewakili Barisan Nasional dan mendokong suara Muafakat Nasional.

Keputusan PAS untuk meneroka kerjasama politik yang lebih luas dengan MCA, dan sebelumnya dengan MIC, telah mengubah rentak pilihan raya apabila Pakatan Harapan  terperangkap dengan naratif ‘perkauman dan taliban’ yang dilemparkan kepada PAS.

Dalam aspek ini, pendekatan PAS untuk meneroka jalan baharu ini menunjukkan bahawa pertimbangan politik memerlukan pandangan yang tajam, langkah yang panjang, dan jiwa yang berani.

Malah pengalaman mengajar kita, segala hikmah di sebalik keputusan dan strategi, hanya akan tersingkap dan difahami di kemudian hari.

Justeru banyak pengajaran yang boleh diambil daripada pilihan raya kecil Tanjung Piai, yang dilatari kanvas demografi dan acuan muafakat tersendiri, antaranya:

  1. Kepada Pakatan Harapan, jangan menabur fitnah, jangan mungkir janji, jangan bergaduh, dan jangan salahguna jawatan Menteri.
  2. Kepada Muafakat Nasional, jaga setiakawan, jaga integriti, jangan selesa, dan jangan lupa diri.
  3. Kepada rakyat, jaga perpaduan, jaga kebajikan, serta jangan terpedaya dengan fitnah dan provokasi.
  4. Kepada anak muda, jaga akhlak, jaga jatidiri, serta jangan terpedaya dengan fitnah dan janji.

Ternyata keputusan di Tanjung Piai telah menghantar isyarat yang sangat penting iaitu, semua pihak perlu bermuhasabah, memperbetul dan memperbaiki diri.

Adakah Tanjung Piai akan menjadi sebuah permulaan kepada sebuah pengakhiran (the beginning of the end) kepada Pakatan Harapan, hanya masa yang akan menentukan.

Syahir Sulaiman, 18 November 2019 – HARAKAHDAILY 18/11/2019