PRK Tg Piai mesej jelas rakyat untuk PH

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng atas kemenangan besar di PRK Tanjung Piai dengan majoriti yang besar melebihi 15 ribu undi.

Berdasarkan analisis dari keputusan PRK kali ini, berlakunya peningkatan yang terlalu besar dalam sokongan rakyat kepada BN sebagai wakil pembangkang, serta berlakunya penurunan yang ketara sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) selaku kerajaan sedia ada. PRK ini juga menyaksikan kembalinya sokongan kaum Cina kepada pembangkang apabila BN memenangi banyak Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mempunyai majoriti pengundi Cina, selain mengekalkan sokongan majoriti kaum Melayu dan Bumiputera di Tanjung Piai.

DPPNS percaya kemenangan ini adalah suatu mesej dari rakyat betapa mereka kecewa dan tidak percaya dengan kerajaan yang sedia ada. Sekalipun calon yang ditampilkan seorang Imam, sudah pasti untuk menarik undi orang Melayu yang mereka gagal dapatkan sejak PRU-14, mereka bukan sahaja masih gagal mendapatkan sokongan malah semakin hilang sokongan dari masyarakat bukan Melayu.

Sentimen-sentimen kebencian yang menjadi kelaziman mereka setiap kali berkempen, fitnah dan penghinaan yang mereka taburkan kepada pembangkang termasuk kepada PAS yang tidak bertanding sama sekali dalam PRK, serta tindak-tanduk DAP yang rasis dan Cauvinis akhirnya menyebabkan kepercayaan rakyat kepada mereka terjunam menyembah bumi.

DPPNS juga mengingatkan kerajaan agar bermuhasabah dan mengambil cakna mesej rakyat di PRK Tanjung Piai. Usah terus bermain sentimen sehingga kerja-kerja selaku kerajaan terabai akibat fokus dengan fitnah dan kebencian. Rakyat juga sudah muak dengan janji-janji palsu, serta mesej-mesej kebencian yang disemai PH sejak PRU-14 hingga kini.

Rakyat mahukan satu budaya politik yang matang dan sejahtera, yang mampu mendidik rakyat dan menanam rasa kecintaan kepada negara. Kebencian yang disemai PH, khususnya parti Cauvinis DAP yang sentiasa menimbulkan provokasi dengan menyentuh soal Islam dan Melayu, hanya menimbulkan kebencian dan ketidakharmonian dalam politik Malaysia.

PAS dan Umno perlu terus memperkukuhkan semangat Muafakat Nasional agar ianya dapat dirasai merentasi kaum. Keputusan PRK Tanjung Piai sekalipun boleh dianggap sebagai kejayaan, namun masih terlalu awal untuk diukur sebagai penerimaan masyarakat, khususnya bukan Melayu terhadap Muafakat Nasional.

Muafakat Nasional harus bersifat mempertahankan hak masyarakat Melayu Islam, serta menjamin dan memastikan hak bukan Melayu tidak terabai dan tidak berkurang waima sedikit pun.

Semoga Tanjung Piai menjadi pemangkin semangat formula baru politik Malaysia, serta mampu mencipta ketumbukan kuat yang mampu membina sebuah kerajaan yang kukuh secara bersama, menggantikan kerajaan caca marba DAP-PH.

“Demi Islam”
“Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah”

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 18/11/2019

Advertisement