Sinis dibalas sinis

ADA orang tegur saya sebab kuat menyindir PAN. Saya jawab di sini, saya mengikut Hasan bin Tsabit yang membalas syair-syair musuh kepada Islam atas arahan Rasulullah.

Hasan bin Tsabit membalas kembali dengan syair-syairnya yang melemahkan semangat musuh Islam dan ianya mengembirakan Rasulullah dan umat Islam atas kepetahan beliau melantunkan syair-syairnya. Asalkan betul apa yang dikata, ia akan menjadi kebaikan.

Sudah tentu Rasulullah bukannya ketua saya secara zahir pada masa sekarang ini. Dan bukan pula pasukan saya, PAS seolah-olah seperti agama Islam sebagai bandingan sebagaimana hati yang busuk menuduhnya sedemikian. Tetapi yang paling diyakini sekarang ialah PAS dengan bukti-bukti yang banyak, menjadikan Rasulullah sebagai ikutan.

Paling mudah Presiden PAS tidak meninggalkan solat berjemaah yang mana menjadi tanda munafik bagi orang yang meninggalkannya dengan sengaja. Beliau juga sudah lebih 40 tahun mengajar di serata dunia tanpa dapat dibuktikan kesesatannya. Malah belajar dia dua universiti utama dunia, Madinah dan al-Azhar.

Beliau tidak pernah diisytiharkan menyeleweng oleh mana-mana badan berwajib kecuali oleh musuh-musuh beliau yang mereka-reka cerita tanpa bukti. Cerita yang sama bagi mana-mana ulamak yang mengikuti jalan Rasulullah. Ajaran-ajarannya dibukukan, malahan kerajaan yang dahulu dan sekarang membayar gajinya sebagai seorang wakil rakyat secara sah dari segi Perlembagaan.

Jangan dilupa bahawa beliau berada dalam jaminan Allah sentiasa. Bagaimana begitu? Dengan sentiasa solat subuh berjemaah. Sebabnya Allah melarang untuk manusia memusuhi golongan ini dek kerana mereka mendapat jaminan Allah. Dhuha pun beliau tidak tinggal walaupun sedang bermusafir atau tidak sihat.

Adapun kekhilafan beliau mengenai beberapa perkara fiqh yang mungkin lemah pada pandangan sesetengah pihak, ianya bukanlah lambang kepada beliau telah lari dari Islam. Telah difahami dunia, apabila salah berijtihad akan dapat satu pahala. Dengan Kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak ada langsung kesan rasuah sama ada di bawah beliau sebagai Presiden ataupun sebelumnya, membuktikan lagi betapa PAS dibimbing oleh orang yang benar-benar cintakan Islam.

Sedangkan imam muktabar tidak pula diketahui memalukan antara satu sama lain atas kekhilafan atau mengambil dalil yang dianggap lemah oleh sebahagian mereka dan berterusan mengejar sesama mereka mencari salah. Inikan pula kita. Apa contoh tauladan yang kita tiru?

Kelemahan itu sifat manusia. Tetapi mesti segera diatasi. Tetapi paling celaka ialah golongan yang sentiasa merasa dirinya paling betul dan hebat dengan segala apa sama ada kekhilafan apatah lagi kesilapan, dihentam mereka. Sedang mereka hanya duduk di luar kawasan, tanpa mengotorkan baju mereka dengan lumpur manusia yang sentiasa beragam perangai.

Jauh dari kelakuan Rasulullah yang menyelesaikan masalah ummah. Turun Baginda ke padang memberi nasihat, mencari solusi. Rasulullah menegur kesilapan orang sama ada dengan cara keras, sehingga merah wajah Baginda yang mulia itu, mahupun dengan cara lembut yang mengukirkan senyuman manis Baginda.

Tetapi harus diingat, kebaikan manusia juga Baginda puji agar menjadi tauladan kepada yang lain. Mulianya sikap Baginda, memenuhi tuntutan amar makruf nahi mungkar. Amat jauh perangainya jika ada sesetengah manusia mengaku mengikut jalan Rasulullah, kesalahan dan kekhilafan orang dikeberkan seantero dunia dan kebaikan orang yang sama didiamkan. Kenapa ya? Dan kebencian saya lebih tinggi kepada mereka yang bukan ulamak seperti Presiden PAN, saya sebut secara khusus, apabila memperolok-olokkan ulamak yang beliau sendiri ketahui ilmunya.

Apapun inilah sikap saya. Saya mempercayai dengan jelas setelah berjiran dengan Presiden PAS, mengikuti perjalanan politik dan dakwah beliau, bertanya kepada orang yang dekat dengan beliau, saya banyak memerhati dan saya meyakini beliau mengikut jalan Rasulullah walaupun memang ada kekurangannya. Dan jemaah yang saya sertai ini, mempunyai susunan organisasi bagi mengembangkan Islam dengan lebih baik. Ianya bukan baharu, tetapi semenjak hampir 40 tahun saya memerhati beliau.

Maka Presiden PAS, ulamak yang saya ikuti sekarang, ialah ulamak yang saya percaya setelah membaca, mendapat nasihat ulamak yang lain, beliau seorang ulamak yang insyaAllah mewarisi perjuangan Rasulullah. Maka saya bangun sebagaimana Hasan bin Tsabit mempertahankan Rasulullah dengan syairnya, saya mempertahankan pewaris Rasulullah dengan tulisan saya atas kepercayaan saya ini.

Jika anda seorang Islam, anda wajib menyertai jemaah. Jika PAS bukan jemaah yang paling baik, tunjukkan mana satu jemaah yang paling baik di Malaysia ini. Anda tidak boleh duduk berseorangan di luar jemaah Islam kerana Rasulullah melarangnya. Dan anda mesti turun dan memperbaiki jemaah dalam semua segi, bukan hanya berkuliah. Politik Islam, ekonomi Islam, ketenteraan Islam dan lain-lain lagi perlu dibentuk. Barulah kita tahu, adakah ia semudah diucapkan atau seberat bebanan piramid untuk dipikul.

Atau, jika tiada dapat ditunjukkan jemaah yang terbaik, semuanya sama jahat dan rosak, maka anda hendaklah beruzalah, tinggalkan segala hal dunia, memisahkan diri, tinggal di lereng-lereng bukit, memakan daun-daun kayu kering dan mati dalam keadaan begitu adalah lebih baik dari bergaul dalam masyarakat yang rosak.

MOHD NASIR ABDULLAH
18 November 2019 – HARAKAHDAILY 18/11/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Advertisement