Tg Piai bukti Muafakat Nasional tidak rasis

KEMENANGAN pembangkang di PRK P.165 Tanjung Piai bukti Muafakat Nasional mula diterima rakyat pelbagai kaum dan bukan rasis. Ini sekali gus memberi isyarat PH telah gagal menjaga kestabilan semua kaum. Konflik dalaman PH yang tidak berkesudahan sebenarnya telah memusnahkan harapan rakyat untuk memakmurkan negara. Tsunami pengundi Cina turut menyumbang kepada kemenangan calon BN, Dato’ Seri Dr Wee Jeck Seng yang menang bergaya dengan majoriti 15,086 undi.

Kemenangan ini juga sangat signifikan kepada kesan kerjasama PAS dan Umno. Ia sekali gus menangkis tohmahan kerjasama perkauman atau rasis malah kerjasama ini telah membuktikan ia adalah langkah untuk menstabilkan keharmonian kaum. Strategi meletakkan calon berbangsa Cina juga dilihat sangat tepat kerana ia telah membuktikan MCA mula diterima kaum tersebut dan orang Melayu tidak langsung termakan sentimen perkauman yang dimainkan pihak tertentu.

Tsunami pengundi Cina ini dijangka akan melonjak ke siri pilihan raya yang lain termasuk Sarawak. PAS Sarawak telah mengukuhkan beberapa gerak kerja bersepadu untuk menang di kerusi target terutama kerusi tradisi PAS Sarawak. Rakyat Sarawak dipercayai akan mula memahami kerjasama yang dilakukan oleh PAS bersama Umno yang mana akan menyelamatkan rakyat Sarawak dari ancaman PH terutama DAP.

Walaupun GPS dilihat bergerak selaras bersama PAS di Parlimen, perlu diingat juga GPS punya tugas besar untuk memenangi hati rakyat Sarawak. GPS harus menyedari bukan mudah sekiranya mereka tidak berada di dalam Kerajaan Persekutuan seperti sebelumnya.

Walaupun GPS giat melaksanakan projek untuk rakyat Sarawak yang selama ini dilupakan oleh mereka sendiri, mereka juga berdepan dengan cabaran ‘lambang’ terutama di kawasan pedalaman. Lantaran wujud kerjasama PAS dan Umno, tidak salah jika lambang BN boleh digunakan di Sarawak jika ia mampu memberi kemenangan kepada PAS Sarawak.

ZHARUDIN NARUDIN
Ketua Penerangan PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 18/11/2019

Advertisement