Amal fardi, jamaie dan ijtimaie mesti seiring

TAIPING: Sesebuah jemaah jika bererti jika ketiadaan ketua untuk memimpin, namun seorang ketua tidak bermakna jika tiada ahli yang taat dalam pimpinannya, demikian kata Ketua Muslimat PAS Negeri Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Advertisement

Beliau berkata sedemikian di program Jelajah Munaqasyah Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (JELAS) yang berlangsung di Markaz PAS Air Kuning, di sini kelmarin.

“Sebagai Muslimat PAS, kita hendaklah memastikan kita sentiasa melaksanakan amal fardi di mana tugas kita hendaklah menyeru umat manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

“Seterusnya adalah amal jamaie. Ia memerlukan panduan dan strategi yang tersusun manakala amal ijtimaie pula memerlukan adanya tolong-menolong antara satu sama lain dalam menjayakan gerak kerja jemaah,” ujarnya.

Selain itu, Dr Najihah juga menyeru agar semua Ketua Muslimat PAS Kawasan-kawasan yang hadir dapat menyampaikan segala panduan gerak kerja diperoleh daripada program JELAS kepada setiap anggota lain.

Terdahulu, Pengarah JELAS, Ustazah Hasna’ Abd Samad menyatakan bahawa individu yang mencintai dunia, akan sentiasa memikirkan hal-hal dunia, manakala individu mencintai jemaah akan sentiasa memikirkan urusan jemaah.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Perak turut menekankan kepentingan setiap Muslimat meletakkan diri masing-masing dalam jemaah tanpa memberi alasan lapuk untuk tidak menyertainya.

“Dari sekarang kita perlu menyimpan kewangan dan tanam azam untuk turun ke Muktamar PAS pada tahun depan. Jangan sebut tiada duit, risau-risau duit kita betul-betul Allah tarik nanti,” tegurnya.

Program tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Pilihan Raya Muslimat PAS Malaysia, Noraini Hussien dan Setiausaha Lajnah Penerangan Media Baru Muslimat PAS Malaysia, Nor Maziah Khori. – HARAKAHDAILY 19/11/2019