Ameerah-Puteri Titiwangsa main futsal bersama

TITIWANGSA: Ameerah Kawasan dan Puteri Umno Bahagian bagi Parlimen Titiwangsa telah menjayakan perlawanan futsal persahabatan bertempat di Gelanggang Futsal Keramat, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Program yang julung-julung kali diadakan bersama kedua pihak ini mendapat sambutan sangat baik dengan kesudian Puteri Umno untuk turut mengambil bahagian dalam menjalin hubungan mereka.

Ketua Ameerah Titiwangsa, Nusaibah Ibrahim berkata, program sedemikian bertujuan menyambut seruan Muafakat Nasional dan menjalinkan ukhuwah sesama Ameerah dan Puteri Umno Titiwangsa.

Program ini juga menurutnya, diusahakan sebagai pemangkin kesefahaman antara dua parti dan menjadi titik tolak untuk kedua-dua entiti wanita muda ini mengorak langkah bersama memacu Muafakat Nasional demi agama,rakyat dan negara.

Perasmian penutup futsal ini disempurnakan oleh Naib Ketua Muslimat PAS Titiwangsa, Khairi Syutina Mahmood yang telah menyampaikan tazkirahnya mengenai sukan.

“Sukan akan menjadi suatu ibadah sekiranya diniatkan kerana Allah namun ia juga boleh jadi haram sekiranya masyarakat mengambil enteng hal aurat terutamanya bagi golongan wanita,” terangnya.

Beliau turut menekankan kepentingan menjaga kesihatan diri terutamanya bagi golongan muda kerana jelasnya Muslim yang kuat itu lebih disukai oleh Allah berbanding lemah. – HARAKAHDAILY 19/11/2019