Hi-Tea Mahabah Maulidur Rasul DMPK Kepala Batas

KEPALA BATAS: Muslimat PAS Kawasan Kepala Batas telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul bersama warga pendidik dan isteri-isteri pimpinan PAS Kepala Batas di SRITI Fathul Arifin, Rantau Panjang, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Program digemakan dengan acara berselawat dan ucapan Ketua Muslimat PAS Kepala Batas, Ustazah Hasanah Idrus dan diikuti slot forum serta jamuan Hi-Tea, selain diserikan lagi dengan sesi cabutan bertuah.

Ustazah Hasanah dalam ucapannya membangkitkan kesedaran untuk bangkit berjuang menentang serangan bertubi-tubi daripada musuh terutama serangan pemikiran dan ancaman terhadap Melayu dan Islam.

Forum Maulidur Rasul bertajuk Rasulullah S.A.W Engkau Murabbi: Antara Mujahid dan Muallim telah membariskan Ustazah Rahmah Mat Isa dan Ustaz Shahfazrul Abdul Sahbuhan dan dimoderatorkan oleh Sufian Muhammad Umran.

Ustazah Rahmah menekankan maksud matlamat pendidikan yang dituntut dalam Islam di mana peranan murabbi adalah untuk mendidik dan menunjuk jalan hingga ke penghujungnya kepada si murid.

Beliau menyifatkan usaha dan fokus mendidik anak-anak zaman ini adalah satu jihad yang memerlukan kesungguhan demi membentuk kecemerlangan anak-anak dengan mendepani dunia penuh pancaroba ini.

“Antara rahsia pendidikan Rasulullah S.A.W ialah Baginda banyak bersabar terhadap karenah orang lain dalam usaha mentarbiyah dengan penuh rahmah. Contohnya beliau tidak memarahi cucunda yang naik ke atas belakang Baginda ketika sedang solat.

“Begitu juga Baginda terus menyuap makanan ke mulut Yahudi buta dengan penuh lemah-lembut walaupun cacian yang diterima, namun berkat kekuatan kesabaran Baginda telah melunakkan hati Yahudi tersebut untuk menganut Islam setelah kewafatan Baginda,” ulas beliau terhadap kemurnian akhlak Rasulullah mendidik.

Selanjutnya, Ustaz Shahfazrul pula mengambil Rasulullah sebagai ikon pendidik supaya guru-guru dapat mencontohi gaya pendidikan Rasulullah S.A.W yang sempurna hingga dapat melahirkan generasi Sahabat R.A yang seimbang hebat ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi.

“Antara kejayaan Baginda Rasulullah S.A.W adalah berjaya mendidik para Sahabat menjadi pemberani di medan juang seperti Saidina Ali yang berani menggantikan tempat tidur Baginda pada malam peristiwa hijrah,” jelasnya.

Selain itu beliau menyeru umat Islam menjauhi rasa iri hati dan dengki dengan mengingatkan umat Islam mengamalkan doa yang dibaca oleh Rasulullah S.A.W ketika masuk Madinah hingga Baginda dapat menyatupadukan Aus, Khazraj dan Muhajirin.

Menurut beliau, kita perlu memohon perlindungan Allah S.W.T kerana gerak kerja yang dilakukan secara bersama memungkinkan timbul riak-riak kebencian dan rasa tidak puas hati antara kepimpinan dengan yang dipimpin.

Program anjuran Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Kepala Batas ini telah dihadiri 80 peserta terdiri daripada isteri-isteri pimpinan PAS Kawasan, para guru di sekitar Kepala Batas, penduduk kampung Rantau Panjang serta Muslimat PAS Kepala Batas. – HARAKAHDAILY 19/11/2019