Kementerian Pendidikan tipu mahasiswa?

    KUALA LUMPUR: Penangguhan program Bicara Eksklusif ‘Islam Membawa Kesatuan‘ bersama mantan Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS), Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang didakwa atas desakan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

    Advertisement

    Timbalan Pengarah Program, Arman Usman meluahkan rasa kecewa dengan tindakan penangguhan program tersebut kerana pada awal pihak KPM telah bersetuju dengan syarat yang diberikan iaitu menjemput wakil kerajaan.

    “Walaupun pihak penganjur sudah berbuat demikian, tetapi pihak atasan terus mendesak pihak HEP (Hal Ehwal Perlajar) untuk membatalkan program ini,” katanya dalam satu kenyataan.

    Bidasnya, masalah terbesar pihak KPM adalah tiada satu garis panduan hitam putih yang jelas diberikan berkaitan tatacara menjemput tokoh besar dimana Arman mendakwa KPM menipu dan takut berhadapan dengan mahasiswa apabila hanya menyerang pihak HEP dan tidak bertemu mata dengan penganjur.

    “Pihak Kerajaan PH sangat jelas menafikan hak kebebasan bersuara yang dijulang-julang dahulu oleh mereka sendiri. Pindaan AUKU yang dibuat pada tahun lepas adalah wayang politik semata-mata untuk mengaburi mata rakyat. Maka mereka sangat sesuai digelarkan sebagai munafik dan penipu,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau sangat kecewa dan kesal dengan penipuan yang dibuat kepada mahasiswa berikutan pelbagai persiapan yang telah dilakukan oleh pihaknya demi kelancaran program.

    Malang sekali jelas beliau, dengan mudah kerajaan membatalkan program tersebut yang sangat jelas ia satu kezaliman kepada pihaknya.

    Terdahulu, program Bicara Eksklusif tersebut dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) sempena Karnival Inspirasi Putra yang dijadualkan pada malam ini bertempat di kampus itu.

    Namun, pihak penganjur telah menerima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar untuk menangguhkan program tersebut disebabkan masalah tidak dapat dielakkan. – HARAKAHDAILY 19/11/2019