Beting Maro tiada dalam agenda Sarawak First

    KEADAAN Kawasan Beting Maro khususnya Daerah Pusa dan Kampung Beladin sangat jauh ketinggalan dari agenda pembangunan. Tinjauan ke atas semua golongan lapisan masyarakat setempat dari anak muda berumur 18 tahun sehingga warga tua mendapati isu utama mereka adalah wakil rakyat sedia ada yang telah menghilang. Mereka juga sudah tidak mempercayai beliau sungguhpun beliau akan muncul untuk mengambil hati rakyat di sana. Kesedihan penduduk Beting Maro ini diluahkan kepada wakil PAS Sarawak iaitu Zulkipli Ramzi selaku Timbalan Pesuruhjaya dan saya.

    Isu projek tergendala, tertangguh, lambat siap, janji tidak ditepati menyebabkan penduduk di sini sudah muak dengan wakil rakyat sedia ada sekali gus GPS. Imej yang dibawa oleh GPS kononnya mengutamakan Sarawak tidak dilihat di Beting Maro. 9 dari 10 anak muda yang ditemui merasa kesal dan tidak sabar mahu menukar wakil rakyat baru khususnya dari PAS. Lebih menarik, PAS disebut oleh semua golongan sebagai seteru utama kepada PBB di sini. Seorang wanita warga emas pula menyifatkan wakil rakyat sedia ada tidak pandai menjaga hubungan dengan rakyat dan beliau tidak kisah tidak mengundi partinya iaitu PBB jika hal ini berterusan. Inilah sebab mereka sudah beralih dari menyokong GPS kepada PAS.

    Masalah janji untuk membina infrastruktur seperti padang futsal, pejabat daerah di Pekan Pusa dan pertukaran tapak balai polis baru dari Pusa ke kampung Beladin juga dilihat sangat memilukan. Mereka kini tidak sabar mahu menanti pilihan raya seperti mana sudah 3 kali PAS kalah tipis di Beting Maro dan mahu PAS menang pada kali ini. Penduduk di Pusa juga mahu wakil rakyat yang baru nanti seorang yang menjaga kebajikan mereka dan tidak pilih bulu serta taraf.

    Bagi penduduk di Beladin, isu nelayan sangat hangat. Mereka kesal kerana wakil rakyat sedia ada tidak mampu membantu mereka untuk mendapatkan Permit Tunda Sementara yang membolehkan mereka untuk menangkap ikan di kawasan lebih dari 2 batu dari pantai. Wakil rakyat sedia ada jarang turun bertemu dan mengambil tahu perihal orang Beladin sendiri sungguhpun beliau berasal dari kampung tersebut.

    Sikap wakil rakyat yang enggan mendengar rintihan serta keluhan penduduk sebegini akan memburukan imej parti mereka sendiri iaitu PBB-GPS. Selain itu, penduduk di sini juga sangat kesal terhadap isu di seluruh kawasan Batang Lupar itu sendiri iaitu masalah tekanan air yang sudah berpuluh tahun tidak selesai. Mereka mahu PAS mewakili suara mereka di Dun kerana mereka sudah hilang kepercayaan kepada PBB-GPS. Jelas, inilah keadaan Beting Maro yang sangat menyedihkan dan nyata tiada dalam agenda Sarawak First atau utamakan Sarawak oleh Kerajaan Negeri.

    ZHARUDIN NARUDIN
    Ketua Penerangan PAS Sarawak. – HARAKAHDAILY 20/11/2019

    Advertisement