Kelantan rakam tahniah buat Harimau Malaya

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan pasukan Malaysia berjaya menumpaskan Indonesia 2-0 malam tadi.

Advertisement

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Zuraidin Abdullah berkata, kemenangan bergaya itu menempa sejarah baru apabila gawang skuad negara tidak dibolosi pihak lawan.

“Kejayaan ini begitu membanggakan kita dan Kelantan mengucapkan tahniah di atas kemenangan tersebut.

“Kita berharap Harimau Malaya terus mara apabila berdepan Emeriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 26 Mac 2020,” katanya selepas sidang media Kelantan International Muay Fight 2019 di Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.

Malaysia juga akan berdepan dengan Vietnam dan Thailand selepas itu.

Malam tadi Harimau Malaya mengatasi Garuda 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Zuraidin juga berkata, kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia menambah 3 lagi mata menjadikan 9 kutipan selepas menamatkan lima perlawanan.

Dua gol kemenangan skuad negara itu disumbang penyerang sensasi, Muhammad Safawi Rasid dengan penuh dramatik. – HARAKAHDAILY 20/11/2019