PASTI Putra Permai mahu terus lakar kecemerlangan

PUCHONG: PASTI Putra Permai 1 dan 2 telah menganjurkan Majlis Makan Malam dan Kesyukuran bertempat di Restoran Warisan Bonda, Seri Kembangan, di sini kelmarin.

Advertisement

Majlis ini sebagai tanda penghargaan terhadap seluruh warga PASTI, Dewan Pemuda, PAS Cawangan Putra Permai serta Jemaah Ibu Bapa dan Guru.

Ianya juga sebagai menzahirkan kesyukuran atas kejayaan dan kelancaran perjalanan PASTI ini sepanjang tahun, selain mengerat ukhuwah seluruh warga kerja ini.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi JIBG, Muhammad Irfan Md Ariff dan Timbalan Pengerusi Surau Al-Munawwarah, Mohd Azam Mohd Adam.

Di samping itu, majlis ini juga sebagai penghargaan untuk Naib Ketua PAS Putra Permai, Zamiruddin Omar dan keluarga beliau yang akan berpindah ke Terengganu.

Beliau sekeluarga telah menetap dan mencurah khidmat bakti bersama PAS Kawasan Puchong sejak 2006, selain pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha PAS Kawasan Puchong.

Ketua PAS Putra Permai, Abdul Rafar Embong dalam ucapannya menyifatkan pencapaian PASTI Permai sejak tahun 2009 sangat memberangsangkan.

Menurutnya, ia hasil kerjasama mantap dari kerja secara berjamaah yang menjadi antara kunci kejayaan dicapai sekarang di mana beliau mahu komitmen dipertingkatkan.

Beliau juga berharap warga PASTI Putra Permai dan mereka yang terlibat dengannya menggiatkan lagi kempen untuk menarik lebih ramai ibu bapa menghantar anak ke PASTI ini.

Menurutnya, selain untuk menerapkan didikan berteras Islam kepada anak-anak, ia juga sebagai satu usaha perkembangan dakwah kepada masyarakat setempat. – HARAKAHDAILY 20/11/2019