Usul kecam serangan udara Israel dibahas Isnin ini

KUALA LUMPUR: PAS telah membawa usul kecaman serangan udara oleh tentera Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza ke Dewan Rakyat hari ini.

Advertisement

Usul itu dibenarkan untuk dibahaskan di kamar khas pada Isnin (25 November), jam 2.30 petang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Mohamad Ariff Md Yusoff membenarkan usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan untuk dibahaskan di kamar khas selama 30 minit dan memberi masa 30 minit untuk menteri menjawab.

Jelas Mohamad Ariff, usul tersebut perlu dibahaskan di kamar khas kerana mengambil kira kepentingan perbahasan Belanjawan wajar didahulukan.

“Saya sebagai Tuan Yang Dipertua berpuas hati dengan perkara yang dibangkitkan oleh ahli berhormat itu (Kota Bharu)memenuhi tiga syarat.

“Syarat pertama di bawah perkara tertentu, syarat kedua adalah bagi kepentingan orang ramai (awam)dan syarat ketiga ialah ia berkehendak disegerakan,” katanya sebagai berpuas hati dengan usul yang dikemukakan memenuhi tiga syarat.

Membacakan usul di Dewan Rakyat, Takiyuddin berkehendakkan usul yang dikemukakannya itu dibahaskan di dalam Dewan Rakyat pada hari ini memandangkan serangan ganas Israel yang berlarutan.

“Ketegasan Malaysia di dalam memperjuangkan hak masyarakat Palestin di peringkat antarabangsa perlu terus disuarakan.

“Supaya rejim zionis tidak sewenang-wenang berterusan melakukan sesuatu yang bertentang dengan undang-undang antarabangsa.

“Oleh sebab itu saya mencadangkan supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan untuk (benarkan)dewan ini membincangkan dan membahaskan usul ini.

“Saya dengan rendah diri, memohon sekiranya Yang Dipertua menggunakan peraturan mesyuarat 90 untuk menjemput salah seorang menteri untuk memberi laluan bagi usul ini dibahaskan di dalam Dewan ini (Dewan Rakyat) bukan di dalam kamar khas,” kata Takiyuddin.

Bagaimanapun Mohamad Ariff berkata memadai dibahaskan di kamar khas kerana usul sama pernah dicadangkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh pada tahun 2018 juga dibahaskan di kamar khas.

Serangan terbaru yang didalangi oleh Israel Defense Force (IDF) menyasarkan pimpinan pihak pentadbir dan rakyat awam, bangunan kerajaan, kawasan perumahan awam di Semenanjung Gaza.

Serangan yang tidak menunjukkan akan reda itu terus dipertahankan oleh Perdana Menteri Israel setakat ini membunuh 34 nyawa termasuk lapan kanak-kanak dan tiga wanita.

IDF juga telah mencederakan lebih 120 orang penduduk awam dan memusnahkan lebih 120 buah rumah. – HARAKAHDAILY 20/11/2019