‘Payah untuk ucap terima kasih’

SHAH ALAM: Suasana politik di antara Menteri Kewangan dengan Kerajaan Negeri Kelantan akan jernih sekiranya hubungan kemanusiaan diberi perhatian yang baik.

Advertisement

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihak Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa mengamalkan sikap terbuka dengan Kerajaan Persekutuan, namun kecewa apabila saban hari diserang oleh Menteri Kewangan dengan pelbagai tuduhan dan dakwaan tidak berasas.

“Suasana politik di antara Menteri Kewangan dengan Kelantan boleh diperbaiki kalau Menteri Kewangan menjernihkan kenyataan-kenyataannya tetapi kalau saban hari diserang, dikata dan dituduh, saya rasa payah untuk kami (Ahli Parlimen Kelantan) bangun di Dewan Rakyat untuk ucap terima kasih kepada Menteri Kewangan. Jadi itu sangat sukar.

“Jadi, saya nampak hubungan kemanusian itu penting untuk menjernihkan situasi antara kerajaan,” katanya ketika menjadi panel Debat Sinar dengan tajuk ‘Malaysia Baharu: Pemimpin Tak Amal Politik Matang?’ yang diadakan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dilontarkan oleh lawannya, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mengatakan ahli parlimen dari Kelantan seakan tidak mengamalkan politik matang dan terbuka apabila tidak berterima kasih secara terbuka di Dewan Rakyat sedangkan sebanyak RM28 juta wang ihsan telah diberikan kepada Kelantan.

Jelas Fadhli, tidak timbul soal Kerajaan Negeri Kelantan tidak mengamalkan keterbukaan kerana selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Menteri Besar Kelantan sendiri mengadakan lawatan ke pejabat Perdana Menteri.

“Pada Jun tahun lalu, Menteri Besar kelantan telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya. Perdana Menteri datang ke Kelantan bertemu dengan Menteri Besar, jadi soal terbuka atau tidak itu hubungan kerajaan dengan kerajaan telah terlaksana. Kami terbuka menerima kunjungan menteri yang datang,” ujarnya.

Namun, katanya dalam isu royalti Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menyatakan perkara berlainan apabila mengatakan di luar Dewan Rakyat bahawa Kerajaan Persekutuan telah membayar wang royalti kepada Kelantan sedangkan ia hanyalah wang ihsan sepertimana merujuk kepada surat daripada Kementerian Kewangan.

Berikutan daripada itu, pihaknya bangkit di Dewan Rakyat untuk menyatakan kebenaran bahawa royalti masih tidak dibayar sehingga kini dan yang dibayar hanyalah wang ihsan.

Dalam masa yang sama, beliau berkata pihaknya juga berkecil hati dengan kenyataan Menteri Kewangan apabila mengatakan Kelantan negeri miskin sehingga tidak mampu membayar gaji penjawat awam.

“Selama 29 tahun kami mentadbir Kelantan, tak pernah 1 bulan pun tak bayar gaji. Yang dituntut oleh Kelantan wang pendahuluan yang pada akhirnya akan dikontrakan balik dengan bayaran-bayaran Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan yang sepatutnya dibayar.

“Hasilnya 2018, kerjaan Kelantan mencatat perbelanjaan ‘surplus’ dan 2019 kalau Kerajaan Persekutuan bayar premium tanah dan sebagainya akan berakhir dengan ‘surplus’ juga,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2019