Wisma Tok Guru kini milik penuh PAS

Che Abdullah Mat Nawi dan Ustaz Wan Roslan menunjukkan poster ceramah di Wisma Tok Guru.

KOTA BHARU: PAS Kelantan akan mengadakan majlis kesyukuran malam esok di Wisma Tok Guru di Mukim Pendek Salor, selepas mahkamah mengesahkan premis itu milik PAS sepenuhnya.

Advertisement

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, tiada sebab pihak luar membuat tuntutan terhadap pemilikan aset berkenaan.

Katanya beliau sudah lama menjangka pertikaian Wisma Tok Guru di mahkamah akan menyebelahi pemilik berdaftar hartanah tersebut iaitu Mohd Yasin Yusoff.

“Dengan keputusan mahkamah Isnin lepas jadi bangunan itu dapat digunakan sepenuhnya tanpa apa-apa halangan atau tuntutan lagi.

“Jadi kita akan mengadakan majlis kesyukuran serta ceramah Muafakat Nasional di perkarangan premis terbabit malam esok,” katanya di sini.

Difahamkan dua ekor lembu dikorbankan bagi jamuan rakyat sempena program berkenaan yang akan bermula jam 6 petang.

Ceramah terbabit bakal menampilkan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Ketua Penerangan Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Adun Kok Lanas Dato’ Md Alwi Che Ahmad dan Che Abdullah.

Pemilikan Wisma Tok Guru yang menjadi pertikaian sejak lebih dua tahun lepas akhirnya dimuktamadkan pemilikannya kepada PAS Kelantan.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu Isnin lepas membenarkan permohonan Mohd Yassin yang juga Setiausaha Kerja PAS Kelantan terhadap Dato’ Husam Musa.

Peguam plaintif Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, permohonan Mohd Yassin membatalkan keseluruhan saman Husam berdasar kandungan 11 dan kandungan 26. – HARAKAHDAILY 21/11/2019