Bergelut mencari bahagia

MENCARI bahagia

(1)     Di dalam sejarah hidup manusia, manusia mengejar kebahagiaan di dunia. Sejak permulaan kehidupan manusia di dunia ini, hinggalah ke hari ini. Masing-masing mengejar erti kebahagiaan.

Dalam masa yang sama, manusia perlu terikat  dengan Undang-undang Allah S.W.T yang mengatur hidup manusia menuju kebahagiaan sebenar.

Ini kerana Iblis sejak sekian lama menyimpan hasrat untuk menyesatkan manusia dengan mempersembahkan kebahagiaan- kebahagiaan yang palsu.

(2)     Manusia yang rasa dirinya memperolehi kebahagiaan, pasti akan merasa gembira. Justeru, Allah S.W.T menceritakan situasi orang Musyrikin yang gembira mendapat kebahagiaan palsu;

Advertisement



مِنَ ٱلَّذِینَ فَرَّقُوا۟ دِینَهُمۡ وَكَانُوا۟ شِیَعࣰاۖ كُلُّ حِزۡبِۭ بِمَا لَدَیۡهِمۡ فَرِحُونَ

“Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman ugama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu).”

(ar-Rum: 32)



a-      Berdasarkan ayat ini, Imam Qurtubi menukilkan tafsiran bahawa pelaku maksiat merasa gembira dengan maksiatnya. Ini kerana mereka menganggap kemaksiatan itu membahagiakan.

b-     Imam Thabari di dalam tafsirnya menukilkan tafsiran bagi ayat ini;



بما هم به متمسكون من المذهب، فرحون مسرورون، يحسبون أن الصواب معهم دون غيرهم.

“Mereka itu berpegang dengan aliran mereka, bergembira dengannya. Mereka menyangka bahawa mereka sahaja yang berada di pihak yang betul.”



Filosof Yunani

(1)     Bermula 600 SM munculnya golongan yang dikenali sebagai ahli falsafah. Kemunculan golongan ini menjadi poin penting dalam mana-mana penulisan sejarah.

Ini kerana ahli falsafah itu sendiri bermaksud محب الحكمة pencinta kebijaksanaan. Ini kerana golongan ini meletakkan bahawa kebahagiaan itu boleh dikecapi dengan memiliki kebijaksanaan.

(2)     Contohnya, seseorang itu akan merasai kerunsingan yang teramat sangat sekiranya ‘tidak tahu’. Justeru, mereka mencari-cari ilmu pengetahuan (epistemologi) untuk mencapai kebijaksanaan.

a-     Seseorang yang sudah tahu, pasti akan merasa bahagia. Inilah naluri manusia yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Merasa runsing dengan kejahilan itu bagus.

b-     Akan tetapi rasa berbahagia dengan kebodohan itu adalah penyakit. Sebab itulah ahli falsafah Yunani berfikir dan mengkaji untuk ‘tahu’ dan seterusnya membahagiakan mereka.

(3)     Antara persoalan-persoalan yang timbul ketika itu ialah bagaimanakah manusia boleh tercipta? Siapakah pencipta? Kenapakah manusia dicipta?

Soalan-soalan seperti ini menjadi perbincangan ahli falsafah zaman itu. Demi mengejar sebuah kebahagiaan. Maka muncullah pelbagai teori dan andaian mereka.

Sedikit demi sedikit berkembang sehinggalah ada dari kalangan mereka berteori sesat bahawa kebahagiaan itu adalah kepuasan. Aliran ini dinamakan Hedonism.

Nilai yang membahagiakan

(1)     Ada dari kalangan ahli falsafah beranggapan bahawa kebahagiaan itu dikecapi dengan tingginya nilai. Mereka membincangkan maksud nilai, dan apakah ukuran nilai?

Lalu mereka berteori, membahaskan aspek erti sebenar nilai (aksiologi). Mereka tercari-cari sesuatu yang ‘bernilai’ kerana dengan nilai yang tinggi akan mencetuskan kebahagiaan.

(2)     Lalu mereka menyusun ‘falsafah akhlak’ yang mengklasifikasikan perbuatan ini bagus dan perbuatan itu tak bagus. Dari sini timbul beberapa idealogi sonsang antaranya Existentialism.

Golongan ini beranggapan bahawa apa yang dirasakan baik oleh seseorang, ia dianggap bernilai. Lalu pemikiran ini menjadi pincang kerana tidak dapat menentukan penilaian yang tepat.

a-     Apabila mereka tertanya-tanya siapakah pencipta, al-Quran menjawab bahawa pencipta itu adalah Allah.

b-     Apabila mereka tertanya-tanya kenapa manusia dicipta, al-Quran menjawab dicipta bagi mengabdikan diri kepadaNya.

c-     Apabila mereka tertanya-tanya tentang nilai, al-Quran menceritakan bahawa ini betul ini salah, ini mulia dan ini hina.

Segalanya dijawab oleh al-Quran. Seolah-olah menjawab teka teki ahli falsafah terdahulu, yang tercari-cari ‘pengetahuan’ demi mengecapi kebahagiaan.
.
(3)      Jelas menunjukkan al-Quran itu meraikan usaha manusia untuk ‘mengetahui’. Firman Allah S.W.T:



عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ یَعۡلَمۡ

“Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

(al-Alaq: 5)



Teori yang mencari bahagia

Hari ini kita menyaksikan betapa kecamuknya pertembungan idealogi sejak zaman-berzaman. Hakikatnya ia dimulai dengan keinginan mencari kebahagiaan.

(1)      Apabila Adam Smith (1723-1790) melihat situasi negaranya yang kehabisan duit akibat perang yang panjang, beliau menggagaskan Kapitalism dengan harapan ia memberikan kebahagiaan kepada negara miskin.

Namun, teorinya itu tidak menjadi. Bahkan menjahanamkan ‘ekosistem’ masyarakat yang berbilang fahaman. Kerosakan akibat Kapitalism disaksikan sendiri oleh Karl Marx (1818-1883).

(2)     Lalu Karl Marx menggagaskan pula Pemikiran Sosialism dengan harapan ia membawa kebahagiaan kepada manusia yang tertindas di bawah sistem Kapitalism.

Akhirnya sistem Sosialism juga tidak menyelesaikan masalah. Bahkan memparahkan lagi keadaan. Lebih banyak penindasan terjadi dengan Sosialism

(3)     Beberapa ahli falsafah kontemporari mengkaji kedua-dua idealogi ini dengan terperinci. Lalu mereka cuba mengolah kedua-dua idealogi ini dengan harapan menyelesaikan isu penindasan moden.

Hakikatnya tak selesaikan masalah, bahkan menyebabkan tercetusnya perang besar antara Amerika yang mengamalkan Kapitalism dan Soviet yang mengamalkan Sosialism.

(4)     Adakah mereka berjaya mencipta kebahagiaan dengan idealogi yang tak selari dengan Islam? Tidak mungkin. Mereka terus mencuba dan mencuba:



أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَـٰهِلِیَّةِ یَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمࣰا لِّقَوۡمࣲ یُوقِنُونَ

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.”

(al-Maidah: 50)



Mengejar kekuasaan

(1)     Kuasa-kuasa Imperialism sejak dahulu berebut-rebut untuk memegang trofi kuasa dunia. Operasi-operasi perang dilakukan demi mencari kebahagiaan.

Mereka mengukur bahawa kebahagiaan itu adalah kuasa. Lalu mereka meluaskan empayar mereka demi membesarkan skala kuasa mereka. Yang menang akan bahagia. Negara yang dijajah akan dizalimi:



قَالَتۡ إِنَّ ٱلۡمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا۟ قَرۡیَةً أَفۡسَدُوهَا وَجَعَلُوۤا۟ أَعِزَّةَ أَهۡلِهَاۤ أَذِلَّةࣰۚ وَكَذَ ٰ⁠لِكَ یَفۡعَلُون

“Raja perempuan itu berkata: “Sesungguhnya Raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.”

(an-Naml: 34)



(2)     Para Raja mengejar cita-citanya untuk memperolehi kuasa kerana menganggap ia membawa kebahagiaan. Hakikatnya mereka telah menjahanamkan kebahagiaan orang lain.

a-     Pax Britannica menyaksikan bagaimana Britain menjadi kuasa besar dunia hampir 100 tahun (1815-1915). Pasca perang dunia pertama menyaksikan beberapa negara berlumba-lumba untuk menjadi juara.

b-     Muncul Pax Americana sejak 1945 hingga ke hari ini. Adakah Amerika yang sedang memegang trofi kuasa dunia hari ini, sudah dikira mencapai kebahagiaan?

Negara yang maju ini memegang tempat pertama dalam kes-kes jenayah. Bahagiakah?

(3)     Pada 1979 Amerika terkejut dengan kebangkitan Iran seolah-olah menjadi pencabar baru di era pertembungan dengan Soviet (1945-1991). Seolah-olah Iran cuba merompak kebahagiaan mereka.

Lalu mereka memperkasakan Demokrasi dengan menubuhkan pelbagai badan seperti National Endowment Of Democracy (NED), National Democratic Institute (NDI) dan banyak lagi pada 1983.

Tersesat mencari bahagia

(1)     Usaha Amerika untuk mengekalkan ‘kebahagiaan’ mereka adalah dengan memperkasakan demokrasi. Ini kerana demokrasi didakwa mampu menghalang kebangkitan Islam yang mampu menggugat kebahagiaan mereka.

Angan-angan mereka itu tak lama, apabila Parti-parti Islam bangkit memenangi pilihan raya secara demokrasi. Antaranya Parti Refah di Turki, Front Islamic Salvation di Algeria dan PAS di Malaysia.

(2)      Demi mengekalkan kuasa yang menjadi lambang kepada kebahagiaan, mereka sanggup memperuntukkan berbillion USD sejak sekian lama.

Ya, mereka yang gilakan kuasa sanggup menggadaikan apa sahaja termasuk prinsipnya, demi mengejar kebahagiaan itu. Mereka merasa bahagia apabila nafsunya itu berkuasa:



أَفَرَءَیۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمࣲ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةࣰ فَمَن یَهۡدِیهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?”

(al-Jathiyah: 23)



(3)     Mereka tersesat dalam mencari kebahagiaan. Islam mengajar Umatnya bahawa kebahagiaan itu bukan pada harta dan kuasa. Akan tetapi kebahagiaan itu apabila mengikut sistem Islam.

(4)     Kebahagiaan bukan hanya diukur pada kehidupan di dunia semata-mata, akan tetapi diukur juga kebahagiaan di akhirat. Sebab itulah Allah S.W.T banyak menceritakan nikmat-nikmat syurga di dalam al-Quran:



۞ وَٱكۡتُبۡ لَنَا فِی هَـٰذِهِ ٱلدُّنۡیَا حَسَنَةࣰ وَفِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ إِنَّا هُدۡنَاۤ إِلَیۡكَۚ قَالَ عَذَابِیۤ أُصِیبُ بِهِۦ مَنۡ أَشَاۤءُۖ وَرَحۡمَتِی وَسِعَتۡ كُلَّ شَیۡءࣲۚ فَسَأَكۡتُبُهَا لِلَّذِینَ یَتَّقُونَ وَیُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلَّذِینَ هُم بِـَٔایَـٰتِنَا یُؤۡمِنُونَ

“”Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu”. Allah berfirman: “AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.

(al-A’raf: 156)

HARAKAHDAILY 23/11/2019