Menteri Pertanian disabotaj atau Pegawai Kerajaan dikambing hitam?

ISU tender NAFAS kini memasuki dimensi baru bila Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad, mendakwa ia berlaku ekoran sabotaj daripada pegawai-pegawai kerajaan di Kementerian Pertanian yang pandai-pandai membuka dan membatalkan tender tanpa pengetahuan Menteri Pertanian, Datuk Seri Salahudin Ayub.

Lebih serius lagi, pegawai-pegawai kerajaan ini, mengikut ucapan Khalid Samad dalam program Bicara Bersama Menteri yang berlangsung di Kedai Cikgu Fatah, Jalan Dato Lundang, Kota Bharu, malam tadi, 22 November 2019, “bergerak mengikut arahan daripada pemimpin-pemimpin yang lama untuk menimbulkan masalah”.

Ini adalah satu dakwaan serius yang, jika terbukti betul, boleh menyebabkan pegawai-pegawai kerajaan ini dikenakan tindakan tatatertib.

Bagaimanapun, jika dakwaan ini tidak betul, maka pegawai-pegawai kerajaan ini perlu dibela bagi mengelakkan mereka dari dijadikan kambing hitam.

Perkara pertama sekali yang perlu dipastikan ialah siapakah dia pegawai-pegawai kerajaan yang didakwa mensabotaj Menteri Pertanian ini.

Ini kerana yang berkuasa membuka dan membatalkan tender ini pastilah pegawai-pegawai tinggi kerajaan seperti Ketua Setiausaha Kementerian.

Semoga ada penjelasan lebih lanjut mengenai identiti pegawai-pegawai kerajaan mahupun proses-proses membuka dan membatalkan tender ini.

Ini adalah ucapan Khalid Samad tersebut:   

“Lalu amalan ni 22 tahun dah, tak pernah ditender, tiba-tiba tahun ini saja kerana nak timbulkan isu, tanpa pengetahuan Menteri, pembekalan baja oleh NAFAS ini, tender untuk NAFAS ni, ataupun kontrak untuk NAFAS ini, diambil, dia nak tender, tanpa pengetahuan Menteri. Tiba-tiba bila dah keluar tender, orang dah ambil tender, tiba-tiba dia batalkan tender itu. Lalu kecohlah orang. Oh, dia kata, “Ini kita nak runding terus”. Lalu dia kata, “Ini apa ini Kerajaan PH, dulu janji semua nak tender tiba-tiba nak runding terus”.  Maknanya ada pegawai-pegawai yang memainkan Menteri. Tak ada orang suruh tender dia buat tender, tak ada orang suruh tarik balik dia tarik balik, supaya menjadikan dia isu. Ini dalam istilah politik, dalam bahasa Inggeris dia katakana ‘deep state‘ ataupun ‘daulah terpendam’, ‘kerajaan dalam kerajaan’, penyokong kerajaan yang lama yang sedang bergerak mengikut arahan daripada pemimpin-pemimpin yang lama untuk menimbulkan masalah.” – HARAKAHDAILY 23/11/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Advertisement