Pendidikan adalah salah satu jihad – Dr Khairudin


    KUALA NERUS : Usaha dan hasil perjuangan generasi dahulu dalam membangunkan sektor pendidikan adalah satu jihad kepada masyarakat walaupun wujud kekangan dari sudut kewangan, pengurusan namun itulah kemanisan dalam memperjuangkan pendidikan.

    Advertisement

    Kepercayaan ibubapa dan kesungguhan guru-guru dalam memastikan pendidikan anak terus menjadi keperluan utama apatah lagi dalam cabaran dunia moden.

    Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Khatam Al-Quran dan Graduasi Sekolah Rendah Islam Pintar di Dewan Cindai, Duyong Marina Resort, hari ini.

    Beliau turut berkongsi pengalamannya menguruskan Sekolah Rendah Islam Pintar ( SRIP ) Darul Fuqaha di Sungai Merab yang kini terus melahirkan anak-anak yang berwibawa untuk berbakti kepada masyarakat.

    Katanya, setiap individu dan pihak yang mengusahakan sekolah-sekolah agama bukan bertujuan untuk mencari keuntungan bahkan sebaliknya memastikan pendidikan anak bangsa terus terjaga.

    Seramai 30 orang pelajar telah diraikan dalam majlis tersebut dan menjadi satu tarikan menarik buat semua ibubapa yang hadir kerana program itu memilih tema “Tribute P.Ramlee” sebagai konsep majlis.

    Persembahan dan pemakaian tarbus dari guru-guru lelaki menceriakan suasana majlis di samping melihat telatah pelajar cilik tampil dengan pelbagai persembahan.

    “Terima kasih semua ibubapa yang terus menghantar ke SRIP dan menjadikan sekolah ini sebagai pilihan dalam membentuk perjalanan kejayaan anak-anak di dunia dan akhirat,” ujarnya mengakhiri ucapan. – HARAKAHDAILY 23/11/2019