Hari PASTI sempena Sambutan 68 Tahun PAS Perak

BAGAN SERAI: Sambutan Ulang Tahun PAS Ke-68 Peringkat Negeri Perak turut diserikan dengan majlis Hari Anugerah Kecemerlangan PASTI Kawasan Bagan Serai di PASTI Jabal Nur, Gunung Semanggol, di sini semalam.

Advertisement

Majlis telah disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri yang mengemukakan keupayaan PASTI mengenengahkan modul pengajaran berasas acuan Islam kepada murid.

Lebih 200 murid dari PASTI seluruh kawasan ini diraikan serta disampaikan sijil graduasi serta kecemerlangan melibatkan kategori 6 dan 5 tahun di mana Anugerah Murid Terbaik disandang Hasya Hanania Muhammad Hanif dan Daffa Fahim Rizqi Ahmad Sariqat.

Penyampaian hadiah dan sijil telah disempurnakan Ustaz Hafez dan Yang DiPertua PAS Bagan Serai, Ustaz Sukri Khaidir serta Ketua Pemuda PAS Bagan Serai, Ustaz Akmal Abdullah Sani.

Akmal dalam ulasannya berharap graduan PASTI turut menonjol di sekolah mereka kelak dan kesinambungan ilmu diterima juga akan berterusan hingga objektif penubuhan ke arah melahir insan soleh mewarisi perjuangan Islam tercapai. – HARAKAHDAILY 24/11/2019