Jabatan Amal Kampar persiap generasi ‘amalulillah’

KAMPAR: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Kampar dan SRITI Kampar telah menganjurkan Perkhemahan Tahunan Kadet AMAL Kampar yang diadakan di Kem Al-Falah Kuala Dipang, di sini kelmarin.      

Advertisement

Program ini bertujuan mendedahkan Kadet AMAL dengan pengetahuan kawad kaki dan kemahiran ikhtiar hidup sedari bangku sekolah lagi, selain memupuk sifat berdisiplin dalam kalangan pelajar SRITI.

Selain itu, program ini untuk mengasah bakat dan kepimpinan dalam kalangan pelajar SRITI sebagai persiapan untuk menjadi pemimpin berkualiti di masa hadapan.

Antara yang hadir dalam program ini ialah Timbalan Pengarah AMAL Negeri Perak, Mohd Shukri Daud dan Ketua Pemuda PAS Kampar, Mohd Shahrizan Ahmad Fuat serta Komandan AMAL Kampar, Abdul Hadi Hashim.

Antara pengisian menarik dalam program ini adalah aktiviti ikhtiar hidup, malam kebudayaan, ceramah motivasi, kawad kaki dan pembinaan gajet berasaskan buluh.

Mohd Shukri dalam ucapan perasmiannya menyatakan iltizam melalui AMAL dan SRITI Perak bagi menyusun program dan mengkaderkan pelajar untuk menjadi anggota pasukan beruniform ini di masa hadapan.

Mohd Shahrizan pula menyatakan harapannya supaya program Perkhemahan Tahunan Kadet Amal yang julung kali diadakan ini akan menjadi perintis dan modul utama kokurikulum SRITI. – HARAKAHDAILY 25/11/2019