Ketidaktentuan politik, jejaskan ekonomi

    PROSPEK ekonomi dan sentimen pelabur dijangka terus perlahan, menjelang penghujung 2019.

    Advertisement

    Menurut suatu laporan yang dikeluarkan oleh pihak Bloomberg, nilai saham di Malaysia masih berada di paras yang murah berbanding pasaran serantau, namun ianya gagal untuk menarik minat pelabur bertandang ke Malaysia.

    Antara perangkaan yang dinyatakan dalam artikel bertajuk, “Malaysian stocks get cheaper by the day, but few want to buy them” adalah:

    1.     Sejumlah USD2 bilion (RM8 bilion) telah ditarik keluar oleh pelabur asing dalam tahun 2019.
    2.     Indeks Bursa Malaysia dan tinjauan jangkaan keuntungan jatuh sebanyak 12 peratus sejak Mei 2018.
    3.     Penilaian ‘Price-to-Book’ Indeks KLCI berada di paras 1.5x, terendah sejak tahun 2009.
    4.     Pertumbuhan KDNK pada suku ketiga di paras 4.4 peratus, terendah bagi tahun ini, manakala eksport merekodkan jumlah terendah sejak 2016.

    Menurut perangkaan MIDF, pelabur asing telah menarik keluar modal sejumlah RM8.9 bilion daripada pasaran saham tempatan dalam tempoh Januari hingga November 2019, disumbangkan oleh situasi ekonomi global yang tidak menentu, manakala pertumbuhan KDNK pada kadar 4.4 peratus dalam suku ketiga terus menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

    Ekonomi perlu lonjakan

    Secara umumnya, sentimen ekonomi yang lemah ini disumbangkan oleh jangkaan keuntungan yang rendah dan risiko politik yang tidak menentu.

    Ini dapat dilihat daripada Belanjawan 2020 yang tiada ‘wow-factor’ untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara, di samping sikap ‘tunggu dan lihat’ yang diambil oleh pelabur terhadap peralihan kuasa dan pergolakan dalaman PH.

    Selain pertumbuhan KDNK yang sederhana dan keyakinan pelabur yang rendah, kerajaan berdepan dengan kadar hutang yang terus meningkat dan defisit yang melebar, manakala rakyat dan peniaga terus merasai kesan kelembapan ekonomi melibatkan kenaikan harga barang, kos sara hidup yang tinggi dan pengangguran yang terus meningkat.

    Fokus kerajaan

    Agenda pemulihan ekonomi ini memerlukan fokus di pihak kerajaan, serta penglibatan semua pihak bagi meningkatkan daya tahan dan mengekalkan kestabilan dalam negara.

    Justeru dalam tempoh yang kritikal ini, kebajikan rakyat perlu diutamakan, ekonomi perlu dirancakkan, dan persaingan politik yang berlebihan perlu dihentikan. Ini kerana ketidaktentuan politik yang melampau, boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

    – SYAHIR SULAIMAN, 25 November 2019

    Bacaan lanjut:

    https://www.bloomberg.com/news/articles/2019-11-17/malaysian-stocks-get-cheaper-by-the-day-but-few-want-to-buy-them

    https://www.nst.com.my/business/2019/11/539772/malaysia-records-foreign-outflow-rm898bil-ytdHARAKAHDAILY 25/11/2019