Prestasi keusahawanan belia rendah

KUALA LUMPUR: Prestasi keusahawanan dalam kalangan belia negara masih berada dalam keadaan rendah yang memerlukan perhatian pihak kerajaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Advertisement

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary berkata negara kini sedang menuju ke arah transformasi ekonomi digital tetapi sasaran untuk melahirkan keusahawanan belia sangat rendah.

“Dalam petunjuk prestasi, saya agak terkejut apabila melihat sasaran prestasi utama bagi peratusan usahawan belia yang dilahirkan sangat rendah iaitu 6 peratus (2018),  7 peratus (2019)dan 8 peratus (2020). 

“Mengapa perkara ini boleh berlaku? Adakah Kementerian juga sedar bahawa Ekonomi Gig banyak memberikan peluang pekerjaan kepada golongan belia tetapi ia tidak menyelesaikan isu ‘under-employment’?” Soalnya.

Beliau bangkitkan perkara tersebut ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2020 di peringkat Jawatankuasa Kementerian Belia dan Sukan Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.

Hal ini katanya berikutan pengurangan sebanyak RM15 juta bagi Kod Perkhidmatan dan Bekalan dan RM16 juta bagi Kod Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. 

“Mengapa pengurangan dilakukan walhal  fungsi bagi butiran ini sangat penting? Tiga fungsi penting bagi butiran ini merangkumi perkara asas dalam pembangunan belia iaitu kepimpinan, keusahawan dan kesukanan,” katanya.

Berikutan daripada itu, beliau mencadangkan supaya pihak Kementerian meningkatkan pemfokusan kepada pemerkasaan aspek kesukarelawanan dalam kalangan belia. – HARAKAHDAILY 25/11/2019