Akan berundurkah Tun Mahathir?

MUKADDIMAH

Mesej PRK Tanjung Piai kepada Kerajaan PH laksana guruh berdentum di langit, disertai hujan lebat dan halilintar menerangi alam maya. Majoriti undi yang dimenangi oleh calon BN sebanyak 15, 086 terlalu besar untuk dibiarkan berlalu begitu sahaja ditiup angin lalu.

Beberapa pihak dalam PH tidak menunggu lama untuk menyalahkan Tun Mahathir atas kekalahan perit itu. Tujuannya jelas iaitu untuk meningkatkan desakan terhadap Tun agar segera melepaskan jawatan PM kepada DS Anwar.

Tetapi dengan majoriti luar biasa yang diperoleh oleh calon BN, pimpinan utama PH terpaksa memberikan pendapat berbeza. Ia bukan lagi isu penolakan rakyat terhadap Bersatu semata-mata, tetapi ia adalah manifestasi rakyat pelbagai kaum mula menolak PH secara keseluruhan.

Perancangan awal yang tidak menjadi

Hasrat awal DAP dan PKR adalah untuk menghantar signal kepada Tun Mahathir bahawa beliau perlu segera berundur daripada jawatan PM selepas kalah dalam PRK ini. Mereka ‘berharap’ Bersatu akan tewas dalam PRK ini. ‘Dukungan sambil lewa’ DAP dan PKR akan memastikan keputusan itu.

‘End Game’ untuk Tun.

PAN tidak berminat dengan menang atau kalah calon Bersatu. Minat mereka berbeza. Mereka sentiasa berminat menyindir dan memperkecil-kecilkan PAS, terutamanya  Presiden PAS setiap kali berpeluang. Mereka sebenarnya sangat obses dengan PAS dalam setiap ‘nafas’ mereka. Kerana itu, mereka sering di luar tajuk perbincangan.

Tetapi perancangan komponen-komponen PH ini akhirnya memakan diri. Kekalahan mereka terlalu teruk untuk di’kambing-hitamkan’ kepada Tun dan Bersatu semata-mata.


Beberapa pilihan yang tinggal buat Tun

Sungguhpun begitu, desakan peralihan kuasa adalah sangat merimaskan Tun. Dan desakan itu semakin lama semakin ‘menggila’ dan ‘melemaskan’. Tun sudah tidak mempunyai banyak pilihan. DAP dan PKR sudah mula mengepung Tun daripada setiap sudut.

Berikut adalah beberapa pilihan yang mungkin terpaksa dinilai oleh Tun;

Pilihan pertama, terus berunding secara baik dengan parti-parti komponen PH untuk terus memanjangkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai PM sehingga PRU akan datang.

Pilihan ini telah terbukti gagal pada tahap ini.

Pilihan kedua, berunding dengan parti-parti komponen PH tetapi dengan menunjukkan kemampuan Bersatu menambahkan ahli Parlimennya secara ‘runding terus’, terutamanya dengan ahli Parlimen Umno.

Pilihan ini semakin sukar ekoran termeterainya Piagam Muafakat Nasional.

Pilihan ketiga, bersedia untuk menghadapi undi tidak percaya di Parlimen oleh komponen PH sendiri.

Pilihan ini sukar, tetapi masih ada kemungkinan Tun mampu menghadapinya.

Pilihan keempat, mengugut parti komponen kesediaan beliau untuk menghadap SPBY Di Pertuan Agong memohon pembubaran Parlimen.

Pilihan ini paling sulit buat semua pihak dalam PH, termasuk Tun. Pembangkang pula, tentu sangat sukakan pilihan ini.

Apakah pilihan yang akan dibuat oleh Tun?


Pertemuan di rumah Azmin

Pertemuan DS Azmin dengan ahli-ahli Parlimen BN dan PKR segera diketahui oleh media. Ia segera mengundang tanda tanya kepada ramai pihak. Presiden PKR sendiri mahukan DS Azmin memberikan penjelasan.

Penjelasan ahli-ahli Parlimen yang hadir ialah pertemuan itu untuk membincangkan projek pembangunan bagi kawasan masing-masing. Apatah lagi DS Azmin bukanlah tokoh asing bagi mereka. Beliau adalah kenalan mereka sejak sebelum ini lagi. Jawapan yang agak standard bagi ahli-ahli Parlimen yang biasanya suka menunjukkan kelainan dan keunikan.

DS Anwar pula langsung tidak menjangka DS Azmin seberani itu. Walaupun DS Azmin bolehlah dianggap anak didik beliau. Seperti DS Anwar sendiri yang bolehlah dianggap anak didik Tun Mahathir sebelum ini.

DS Azmin nampaknya tidak teragak-agak lagi. Hanya satu jalan yang boleh dilaluinya. Jalan-jalan lain hanya akan menamatkan kerjaya politik beliau. Dan ia adalah pilihan yang berbaloi.

Perlu kita faham, pertembungan DS Anwar dan DS Azmin adalah pertembungan antara bakal-bakal PM ke-8 versi PH. DS Anwar adalah PM ke-8 fantasi DAP. DS Azmin adalah PM ke-8 harapan Tun.

DS Anwar boleh memecat Azmin, tetapi PKR akan bergolak. Sekumpulan ahli Parlimen PKR akan melompat ke Bersatu. Ini akan melemahkan PKR yang sangat tidak stabil mutakhir ini ekoran Presiden mereka tidak termasuk dalam Jemaah Menteri dan tidak pula menjadi PM. Tambahan pula, AMK dan Wanita PKR sedang jelas bergolak sesama sendiri. Dengan PKR yang bergolak, sukar bagi DS Anwar untuk berdepan ‘lawan’ sehebat Tun Mahathir.

Tun Mahathir sudah tentu akan menerima DS Azmin dan ahli-ahli Parlimen yang setia kepadanya. Kerana pemecatan DS Azmin bermakna DS Anwar sudah bersedia dengan segala kemungkinan untuk menyingkirkan Tun daripada jawatan PM. Tun perlukan semua sokongan yang boleh didapatinya.

Signal daripada rumah DS Azmin

Pertemuan di rumah DS Azmin bukanlah pertemuan rahsia. Jika ia mahu dirahsiakan, ia  tidak akan terus bocor pada keesokan harinya. Ia memang sengaja dibuat untuk diketahui oleh pihak yang dikehendaki oleh pihak tuan rumah.

Pada hari ini, tiada lagi pihak yang betul-betul ingin mengorek isu perbincangan di rumah DS Azmin. Kerana setiap pihak berkepentingan telah memahami signal yang dicetuskan oleh pertemuan itu. Bukan soal isu yang dibincangkan dalam pertemuan itu yang penting, tetapi signal yang hendak dihantarkan kepada pihak yang tidak hadir pada pertemuan itu.

Signal itu bolehlah ditafsirkan sebagai ‘kebarangkalian ‘usul undi tidak percaya’ akan ‘tidak berjaya’ mempunyai kebarangkalian yang sangat tinggi. Saya ada nombornya. Jika berani, teruskanlah.’

Tun Mahathir ditanya mengenai pertemuan di rumah DS Azmin. Beliau mengakui mengetahui adanya pertemuan itu. Tetapi beliau menafikan mengetahui sesuatu mengenai isu yang dibincangkan. Ketika beliau ditanya lagi pada hari yang lain, Tun menjawab tiada keperluan untuk beliau memberi komen.

Sidang akhbar PH mengakui kesalahan dan memohon kemaafan

Kemudian satu sidang akhbar dibuat pada Ahad baru-baru ini. PH mengumumkan mereka mengambil maklum signal rakyat di PRK Tanjung Piai. PH memohon maaf kepada rakyat terhadap kegagalan mereka melunaskan janji-janji mereka selama ini dan kegagalan mereka membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

PH akan berubah. Isu rakyat akan sentiasa didahulukan. Pengakuan yang terlalu sedap didengar tetapi terlalu sukar dipercayai.

Yang menjadi tumpuan dalam sidang akhbar ini, bukanlah pengakuan bersalah PH. Tetapi siapakah yang mewakili mereka.

Yup! Masih Tun Mahathir!

DS Anwar dan DS Wan Azizah duduk di sebelah kanan dan kiri Tun. Wajah DS Anwar serius dan tegang. Semua wakil komponen PH ada. PKR, DAP dan PAN. Hanya tiada kelihatan kelibat DS Azmin dan Tuan LGE, anak Lim Kit Siang.

‘Dead end’

Tun Mahathir nampaknya telah menguruskan pilihan yang berada di tangannya dengan luar biasa sekali. Walaupun pilihan pertama untuknya telah gagal, dia telah mengawal padang permainan dengan cekap sekali.

Akhirnya, ‘lawan-lawan’ beliau dalam PH terpaksa bersetuju untuk terus berunding secara baik dengan Tun untuk terus mengekalkan kedudukan beliau sebagai PM.

Tentulah PH yang mahu Parlimen dibubarkan dalam masa segera. Keputusan PRK Tanjung Piai menunjukkan rakyat sangat tidak gembira dengan PH. PH akan perlukan masa untuk memulihkan ‘kecederaan’ mereka. ‘Kecederaan’ mereka akan bertambah parah jika Tun Mahathir sengaja di’cedera’kan pula.

Bukan ‘end game’ bagi Tun Mahathir tetapi ‘dead end’ bagi rakan- rakan beliau dalam PH.

Penutup

Di dalam FB, Tun memuatnaikkan gambar beliau memandu isterinya tercinta ke suatu tempat  yang dipercayai sekitar Bukit Bintang. Ber‘dating’ dengan Tun Siti Hasmah untuk ke sekian kalinya. Betapa beban yang dipikulnya sudah semakin ringan. Ya, memandu Proton sudah memadai.

Isunya bukan Proton, saudara saudari!

Tetapi betapa kadang-kadang sedikit saja keselesaan bersama orang tercinta, sudah teramat memadai. – HARAKAHDAILY 26/11/2019

Advertisement