Ikon Usahawan seru manfaatkan tanah Perak

Pertanian satu jalan menuju Syurga Allah

BAGAN SERAI: Termasuk dalam peranan manusia untuk memakmurkan bumi adalah dengan mengusahakan tanah dengan kegiatan yang dapat mendatangkan manfaat dan hasil kepada kehidupan.

Advertisement

Pengarah Urusan HPA, Ismail Ahmad berkata, tanah yang terbiar ibarat hujan di mana jika tidak digunakan ia tidak memberi manfaat, sedangkan antara waktu mustajab berdoa juga adalah ketika turunnya hujan.

Menurutnya, bumi Perak diciptakan Allah dengan tanah subur dan bukit tinggi yang sesuai untuk pertanian di mana lambakan tanah tanpa diusaha telah merugikan penduduk kerana tidak tahu teknik bertani dan menternak.

Maklum beliau, HPA memiliki matlamat tidak membiarkan tanah walau seinci terbiar daripada dimanfaatkan serta mendatangkan hasil sama ada untuk pertanian, perladangan atau perikanan.

Perkara tersebut dinyatakan beliau dalam program Ikon Usahawan Muslim sempena Sambutan Ulang Tahun PAS Kali Ke-68 Peringkat Negeri Perak di Markas PAS Gunung Semanggol, di sini kelmarin.

“Hari ini kita menerima Kit It’am, esok kita pula memberi it’am kepada orang. Hari ini kita menerima zakat, esok kita pula memberi zakat kepada orang.

“Cari jalan supaya setiap tanah di rumah boleh mendatangkan rezeki. Contoh dalam penternakan kambing, sebulan hanya sekitar RM10 sahaja diperlukan, namun mestilah dengan teknik dan kaedah yang betul,” serunya.

Terangnya, orang yang mencebur pertanian dan penternakan mestilah berbangkit dari hati, iman dan jiwa bahawa bidang tersebut adalah salah satu jalan menuju syurga Allah S.W.T.

Bahkan katanya, daripada sepuluh Sahabat R.A yang dijamin syurga, tujuh daripadanya merupakan jutawan, justeru umat hari ini perlu mencontohi untuk memanfaatkan kekayaan dengan sumbangan ke jalan Allah.

Beliau pada majlis itu turut menyampaikan sumbangan khas kepada PAS Perak secara simbolik penyampaian replika cek kepada Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria. – HARAKAHDAILY 26/11/2019