K’jaan T’ganu kecewa Jalur Gemilang diaibkan

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan insiden memaparkan bendera Malaysia dengan bintang berbucu lima.

Advertisement

Justeru, katanya tindakan itu dikira biadap kerana memperlekehkan bendera negara dan sekadar permohonan maaf tidak mencukupi.

Menurutnya, kenyataan maaf yang dibuat oleh MABA (Persatuan Bola Keranjang Malaysia) pada laman facebook rasminya itu terlalu ringkas dan tida memadai.

“Mereka (MABA) harus menjelaskan kenapa keadaan ini timbul dan harus memberitahu kepada masyarakat awam apakah langkah-langkah yang mereka akan ambil supaya keadaan ini tidak berulang.

“Saya rasa sama ada perkara ini berlaku dengan sengaja atau tidak sengaja, itu satu bab lain tetapi bab yang kedua ialah perasaan sayang dan cintakan negara ini haruslah ianya menjadi ‘real’ bukan dibuat-buat. Jadi saya rasa ini perkara yang lebih besar terutama untuk generasi yang akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu bendera Malaysia yang dipaparkan dengan bintang lima bucu pada Majlis Perasmian Kejohanan Bola Keranjang di Stadium MABA, selepas menyaksikan Majlis Penyerahan ‘mock-cheque’ Bayaran Balik Pinjaman GPB (Golden Pharos Berhad) kepada TISB (Terengganu Incorporated Sdn. Bhd) di Wisma Darul Iman, 26 November lalu.

Kata Dato’ Seri Dr Samsuri, perbuatan seperti menghina dan mengaibkan bendera Malaysia tidak patut berlaku kerana negara meraikan sambutan bulan kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun.

Menurutnya, jalur gemilang juga dikibarkan dengan megah di seluruh negara sama ada di bangunan kerajaan dan bukan kerajaan termasuk di sekolah-sekolah.

Ketika kejadian itu berlaku, Jalur Gemilang (bendera) bintang berbucu lima itu dipaparkan pada skrin ketika lagu Negaraku dinyanyikan dalam acara pembukaan Piala Lum Mun Chak anjuran MABA , pada 25 November lalu.

Difahamkan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim telah memanggil Lua Choon Hann ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk diambil keterangannya.

Pihak MABA telah mengeluarkan permohonan maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan memaparkan Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 itu.

Hadir sama pada majlis penyerahan ‘mock-cheque’ itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar. – HARAKAHDAILY 26/11/2019