K’jaan perlu perkasakan dasar kreatif negara

    Susulan kejayaan filem animasi Upin Ipin Keris Siamang Tunggal

    KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya memperkasakan Dasar Kreatif Negara dengan meningkatkan insentif dan galakan kepada pengusaha-pengusaha filem animasi untuk lebih banyak menghasilkan karya bagi mengharumkan nama negara.

    Advertisement

    Perkara itu disuarakan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) susulan kejayaan filem animasi Upin Ipin Keris Siamang Tunggal menggondol Anugerah Golden Wing kategori Animation Game Industry Annual Conference and Anime Beijing Awards atau singkatannya BAGIA pada 14 November lalu.

    “Kejayaan filem animasi Upin Ipin Keris Siamang Tunggal ini menjadi satu kebanggaan rakyat Malaysia yang sewajarnya kerajaan menunjukkan komitmen untuk menggalakkan lagi pengeluaran filem-filem seperti ini bagi mengharumkan lagi nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.

    Ahmad Fadhli Shaari

    Beliau berkata sedemikian semasa mengambil bahagian di dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa Perbekalan 2020 Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) di Dewan Rakyat hari ini.

    Selain kejayaan filem Upin Ipin Keris Siamang Tunggal, jelasnya filem Boboiboy The Movie 2 juga telah mencatat kutipan paling tinggi sepanjang tahun 2019 dengan jumlah RM29.6 juta.

    Walaupun kutipannya lebih rendah berbanding filem Munafik 2 sebanyak RM37.78 juta dan Hantu Kak Limah 3 sebanyak RM36 juta tahun 2018, namun ia merupakan pencapaian yang sangat tinggi bagi sebuah filem animasi di Malaysia.

    “Kita juga sedang menunggu tayangan filem Ejen Ali The Movie yang saya yakin turut akan mencatat kejayaan sebagaimana filem-filem animasi sebelum ini,” ujarnya lagi.

    Untuk rekod, Dasar Kreatif Negara telah digubal pada tahun 2009 dan mula mendapat peruntukan sebanyak RM200 juta melalui Bajet 2010 yang dibentangkan pada penghujung tahun 2009.

    Ia bertujuan bagi membiayai aktiviti seperti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan di mana dana berbentuk pinjaman juga disediakan dengan kadar faedah rendah dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional.

    Kerajaan juga pada masa itu menubuhkan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbeladan diberi perhatian di mana sejumlah RM3 juta diperuntukkan sebagai geran pelancaran.

    Beliau turut menggesa kerajaan memperhebatkan lagi penerbitan filem-filem animasi yang berwajah Malaysia di samping mempromosi lokasi-lokasi menarik negara ini, selain menonjolkan aspek budaya dan keharmonian yang akan menjadi tarikan pelancong.

    “Filem-filem ini sebenarnya ada pengaruh yang sangat kuat di kalangan masyarakat. Contohnya ramai yang membeli novel Tombiruo tulisan Ramlee Awang Murshid bila ia diangkat sebagai filem.

    “Begitu juga novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karangan Hamka bila diangkat menjadi filem telah menjadi buruan ramai, bahkan ramai yang menabung untuk menyaksikan keindahan semulajadi di Kashmir hanya kerana menonton filem Bajrangi Bhaijaan lakonan Salman Khan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/11/2019