PASTI telah persiap pemimpin masa depan

PARIT BUNTAR: Hari Anugerah Cemerlang bagi seluruh PASTI Kawasan Parit Buntar telah dilangsungkan penuh kemeriahan di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, Titi Serong, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Pengerusi PASTI Parit Buntar, Mohd Ihsan Kamaruddin berkata, PASTI mempunyai visi dan misi ke arah melahirkan anak yang berjaya dengan fikrah terbaik serta mampu memimpin masyarakat dan keluarga.

Menurutnya, PASTI telah mengalami perubahan seiring pendidikan arus perdana yang serasi dengan sekolah rendah hingga muridnya bukan sahaja cemerlang akademik dan ko-kurikukum, tetapi juga sahsiah.

Yang DiPertua PAS Parit Buntar, Baharin Mat Desa pula menerangkan, sistem pendidikan PASTI selari dengan sistem Pendidikan Berasaskan Sekolah (PBS).

“Iaitu membawa tujuan untuk melahirkan anak-anak yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mampu berdaya saing dan maju, serta mampu berkomunikasi dengan cemerlang dunia akhirat,” ujarnya.

Tambah beliau, sehubungan itu Sekolah Rendah Islam Al-Hasanah yang telah beroperasi selama tiga tahun boleh menjadi pilihan ibu bapa sebagai kesinambungan kepada PASTI.

Majlis yang turut dihadiri pimpinan PAS Parit Buntar itu telah diserikan juga dengan persembahan murid-murid selain acara utama penyampaian sijil dan trofi. – HARAKAHDAILY 26/11/2019