Terap cara pimpin Nabi S.A.W dalam organisasi

KUALA LUMPUR: Metodologi asas dalam seni komunikasi dan pengurusan organisasi yang terkenal hari ini sebenarnya telah dipelopori oleh Baginda S.A.W, demikian kemuka Ahli Jawatankuasa Ulamak PAS Pusat, Dr Azhar Yaakob.

Advertisement

Sehubungan itu, pengamatan secara lebih mendalam terhadap kepimpinan Rasulullah perlu dilakukan supaya segala qudwah Baginda diterapkan secara mendasar dalam amalan gerak kerja dan berorganisasi hari ini.

Perkara tersebut dibentangkan beliau pada Tamrin Qiyadi yang bertujuan memberi kefahaman strategi dan sikap dalam mendepani cabaran politik semasa pada program di Batu Muda, Sentul, di sini kelmarin dahulu.

Beliau turut menerangkan mengenai teori Kecenderungan Kecerdasan (IQ), Kecenderungan Emosi (EQ) dan Kecenderungan Spiritual (SQ) yang telahpun dipraktikkan oleh Rasulullah S.A.W kepada para Sahabat R.A sejak 1400 tahun dahulu.

Menurutnya, banyak konsep berkenaan baru diperkenalkan pada zaman ini, seperti ‘Wisdom Personality’ iaitu kebijaksanaan Baginda dalam melihat hikmah tersirat semasa membuat keputusan seperti kisah peletakan Hajarul Aswad dan Perjanjian Hudaibiyah.

Jelas beliau di hadapan kira-kira 80 pimpinan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan itu, ianya merupakan antara nilai dan kualiti kepimpinan Rasulullah S.A.W yang mesti diteladani daripada Baginda dalam berkomunikasi dan menguruskan organisasi.

Sebelum itu, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya turut hadir memberi pengisian menenai pengurusan ikhtilaf dalam menjalankan ta’awun siyasi demi untuk meluaskan dakwah, menegakkan tuntutan syariah dan menyatupadukan ummah dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Dalam program sama, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh juga menekankan agar para pimpinan menjadikan takwa sebagai tunjang utama dalam membina jentera muslimat bagi menghadapi PRU15 akan datang.

Beliau juga menyeru agar muslimat seluruhnya menjiwai ciri-ciri AKIFI yang bermaksud Alim, Haraki dan Sufi ke arah merealisasikan pembentukan jentera ini.

Program yang berakhir pada pukul 4.00 petang itu bertujuan untuk memberi kefahaman tentang strategi dan sikap yang perlu ada dalam diri pimpinan muslimat PAS Wilayah Persekutuan dalam mendepani cabaran politik semasa. – HARAKAHDAILY 26/11/2019