Tidak tutup cuma struktur syarikat

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menafikan lima anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) ditutup.

Advertisement

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, dakwaan penutupan terbabit yang tular kebelakangan ini hanya melibatkan urusan pentadbiran.

Sebaliknya kata beliau operasi dan urusniaga masih berjalan seperti biasa.

“Penutupan dorman (tidak aktif) syarikat sahaja, urus niaga masih berjalan contohnya syarikat Kijang Kuari diurus PKINK.

“Penutupan untuk penstrukturan semula. Kita tidak mahu melihat kerugian berpanjangan syarikat-syarikat terbabit, jadi kita ambil langkah selamat dengan melaksanakan usaha ini,” katanya selepas merasmikan majlis penyerahan bendera kepada kontinjen pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Dewan Seminar Mabna MBI di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Tengku Azmi Tengku Jaafar dan Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Mohd Farid Dato’ Abdul Razak.

Karnival Sukan SUK Negeri-negeri Pantai Timur 2019 melibatkan Pahang, Terengganu dan Kelantan yang bakal berlangsung 29 November di Kuantan. – HARAKAHDAILY 26/11/2019