Umat menunggu kelahiran pejuang agama

    LARUT: Haflah Takrim Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Islam Darul Ta’lim (SMIDT) telah berlangsung dengan jayanya bertempat di dewan sekolah ini di Sungai Limau, Kubu Gajah, di sini kelmarin dahulu.

    Advertisement

    Majlis tersebut telah disempurnakan oleh ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahya meraikan hampir 70  pelajar atas kecemerlangan pencapaian mereka dalam peperiksaan I’dadi, Thanawi dan SPM bagi tahun 2018. 

    Ustaz Khalil ketika perasmiannya mengucapkan tahniah kepada SMIDT kerana berterusan dan komited dalam mempertahankan institusi Islam ini meskipun sentiasa dibelenggu masalah dan dugaan yang tidak pernah berhenti.

    Seru beliau, semua pihak diminta terus bersama mempertahan dan membangunkan SMIDT sehingga ke peringkat yang boleh dibanggakan oleh seluruh masyarakat setempat.

    Menurutnya, umat di luar sedang menunggu pelapis pejuang agama yang bersedia berkhidmat untuk ummah di mana sedang dibina dan diasah keilmuannya dalam institusi agama ini.

    “Teruskan berusaha kerana sejarah tanah wakaf ini sangat perit yang dihadapi oleh orang terdahulu untuk membangunkannya, kita perlu meneruskan dan memperkembangkan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar beliau.

    Penyampaian anugerah kepada para pelajar telah disempurnakan oleh Ustaz Khalil diiringi Pengetua SMIDT, Ustaz Mustaqim Azizan kepada para pelajar dan ibu bapa yang berjaya dalam pelajaran mereka. – HARAKAHDAILY 26/11/2019