Anugerah Tunas Harapan buat anak muda Tambun

TAMBUN: Keterlibatan anak muda sangat ditagih dalam memastikan kesinambungan generasi perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS sejak sekian lama di Malaysia ini.

Advertisement

Kemampuan mereka menggerakkan organisasi hari ini, baik di peringkat Pemuda PAS mahupun Ameerah PAS di Tambun adalah gambaran masa depan yang cerah.

Sehubungan itu, PAS Kawasan Tambun mengiktiraf dua anak muda yang bergiat aktif dalam organisasi dan program di pelbagai peringkat sebagai penerima Anugerah Tunas Harapan Tambun 2019.

Komandan Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Pemuda PAS Tambun, Ahmad Thaqif Hamzah, 19 dikurniakan anugerah tersebut yang kini sepenuh masa berkhidmat sebagai anggota Amal.

Kelibat Ahmad Thaqif boleh kelihatan bertugas di setiap program parti sama ada kecil atau besar dan berbagai misi bantuan kemanusiaan di seluruh kawasan, negeri Perak dan Malaysia di mana pasti sampai walaupun hanya dengan motosikalnya.

“Anak muda ini menjadi inspirasi buat semua pemuda dan ahli PAS di Tambun khususnya. Beliau membuktikan setiap daripada kita punyai peranan penting kepada jemaah.

“Walaupun umurnya masih muda, tetapi seluruh hidupnya diberi keutamaan kepada jemaah sedaya upayanya,” puji Ketua Pemuda PAS Tambun, Ustaz Hafez Sabri.

Manakala Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Tambun, Nur Amira Husna Mohamad Norhisham, 23 yang juga Alumni USAS turut menerima anugerah ini.

Ustazah Husna dipertanggungjawab dengan pelbagai jawatan di atas kebolehannya dalam kepimpinan dan pengurusan termasuklah sebagai Ahli Lembaga Pengarah SRITI Al-Istiqamah, Meru Raya.

Di samping tugas hakikinya sebagai guru KAFA, juga diberikan tanggungjawab besar di peringkat negeri antaranya Ahli Jawatankuasa Jabatan Pembangunan Remaja dan Jabatan Pembangunan Mahasiswa PAS Perak.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari hadir menyampaikan anugerah tersebut dalam Majlis Makan Malam PAS Tambun di Dewan St John Ambulance, di sini baru-baru ini.

Turut disampaikan Anugerah Khas Jasa Dikenang buat mantan guru PASTI Tambun, Almarhumah Cikgu Noraznin Azbaha dan PAS Cawangan Klebang Jaya dianugerahkan cawangan tertinggi pertambahan ahli baharu.

Sementara itu, PAS Zon Klebang pula dipilih menerima Anugerah Zon Paling Aktif di atas menjayakan program berkala antaranya sumbangan kebajikan secara tetap setiap bulan dan iftar jamaei setiap hari Isnin dan Khamis tanpa gagal.

Majlis tahunan tersebut dihadiri oleh 500 ahli PAS dan tetamu jemputan, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki dan wakil pimpinan Umno Bahagian Tambun. – HARAKAHDAILY 27/11/2019