Apa hendak diluah jika jumpa Rasulullah?

TAPAH: Lajnah Dakwah dan Lajnah Penerangan PAS Kawasan Tapah telah menganjurkan Street Dakwah Maulidur Rasul dengan mencerap pengetahuan masyarakat terhadap Baginda Rasulullah S.A.W.

Advertisement

Pendekatan tersebut dijalankan secara temubual oleh Pengerusi Lajnah Dakwah, dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan PAS Tapah, Ustaz Muhammad Firdaus Ariffin dan Mohamad Azahari Abdul Rahman.

Mereka mencungkil pengetahuan mengenai Rasulullah dan luahan ingin diungkapkan jika bertemu Baginda kepada setiap peniaga dan pengunjung yang ditemui di Pasar Tani, di sini kelmarin dahulu.

“Rata-rata yang ditemui telah memberikan jawapan bertepatan dan ada juga yang lupa dan gagal. Ini menuntut kepada usaha dakwah yang berterusan daripada pihak berwajib untuk meluaskan skop dakwah yang luas dan tidak tertumpu hanya di surau-surau mahupun di masjid-masjid sahaja,” ulas Ustaz Firdaus.

Katanya lagi, antara jawapan pengunjung yang menyentuh perasaan ialah jika dapat bertemu Rasulullah, beliau ingin mengadu kepada Baginda untuk menuntut pembelaan keadaan umat Islam kini kerana telah ditindas, dizalimi dan dibunuh sepertimana berlaku di Palestin, Syria dan Kashmir.

Sebelum itu, Lajnah Dakwah juga menganjurkan program Sembang Santai bersama pasangan bahagia iaitu Ketua Jabatan Pilihan Raya Parlimen Tapah, Nordin Hassan yang dikenali dengan Din Cat dengan isteri-isterinya di laman Assabiqun PAS Tapah.

Salah seorang daripada isterinya, Zailawati Zainuddin berkata peranan mereka sebagai tulang belakang untuk memberi dorongan dan sokongan kepada suami turun padang dalam gerak kerja PAS dalam siasah politik dan dakwah.

Di antara yang hadir bagi memeriahkan sambutan program ini ialah Setiausaha PAS Tapah, Muhammad Nor Farid Zainal dan Ketua Penerangan, Zainuddin Mohd Shariff serta Ketua Assabiqun PAS Perak, Mhd Salleh Tulus. – HARAKAHDAILY 27/11/2019