Apa tujuan bawa balik abu mayat Chin Peng?

MEREKA telah membawa balik abu Chin Peng ke Malaysia pada tarikh 16 September, iaitu tarikh ulangtahun rasmi bagi penubuhan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disambut setiap tahun oleh warga ATM. Tarikh 16 September juga adalah tarikh penubuhan Persekutuan Malaysia yang menolak sebarang ideologi Komunis.

Advertisement

Adakah ini kebetulan atau sengaja mahu mencabar sensitiviti rakyat Malaysia khususnya perwira-perwira kita dari kalangan ATM yang telah berkorban nyawa dan hilang anggota menentang keganasan komunis?

Chin Peng dikatakan tidak pernah menyesal melakukan keganasan kepada warga ATM sepanjang hayatnya. Membunuh anggota pasukan keselamatan, membakar rumah dan harta orang-orang kampung, memusnahkan prasarana dan kejayaan memutuskan kaki anggota tentera melalui jerangkap samar diraikan sebagai sebuah kejayaan Parti Komunis Malaysia (PKM).

Kerajaan perlu memastikan rancangan dan agenda mengangkat PKM sebagai hero negara perlu dihentikan dan mereka yang terlibat disiasat dan diambil tindakan dengan segera.

Perjuangan komunis yang menggunakan pendekatan bersenjata dan pemberontakan tidak wajar diangkat. Lebih-lebih lagi tujuan perjuangan mereka adalah untuk menubuhkan Republik Komunis yang tidak sesuai dengan struktur pemerintahan negara ini yang berasaskan sistem beraja dan mengangkat kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB Haji Ahmad Amzad bin Hashim
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
27 November 2019/ 30 Rabi’ulawal 1441 H – HARAKAHDAILY 27/11/2019