Dego Ride, Gojek, kemudian…?

EKORAN masa perbahasan yang sangat terbatas, saya tidak berkesempatan menyentuh isu ini ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Belia dan Sukan dua hari lepas. Ini kerana Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman adalah di antara individu yang mula-mula melontarkan idea supaya Gojek beroperasi di Malaysia pada bulan Ogos lepas.

Sejarah Gojek ini bermula apabila Nadiem Makarim (sekarang Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia) bersembang dengan ramai penunggang Ojek, beliau dapati penunggang Ojek banyak menghabiskan masa menunggu bakal pelanggan di tepi jalan. Lalu, Nadiem memulakan inisiatif mewujudkan sebuah pusat panggilan di Jakarta, mengkoordinasi permintaan pelanggan dengan 20 buah Ojek. Nadiem mahu rakyat Indonesia mudah bergerak dari poin A ke B tanpa terperangkap dalam kesesakan dengan hanya menggunakan Ojek dan panggilan telefon. Pada tahun 2010, Nadiem Makarim melancarkan Gojek.

Gojek terus berkembang pesat. Tahun 2015, Gojek melancarkan aplikasi yang menawarkan tiga servis iaitu GoRide, GoSend dan GoMart. Kemudian, hampir sepuluh tahun berlalu, Gojek bukan lagi hanya sekadar ‘ride-hailing’ tapi syarikat servis teknologi yang menawarkan 20 solusi seperti penghantaran, pembayaran e-kewangan, hiburan dan penjagaan kesihatan. Kajian Universitas Indonesia mendapati Gojek menyumbang kira-kira Rp44.2 trilion (AS$3 bil) untuk ekonomi Indonesia pada tahun 2018.

Gojek diiktiraf sebagai ‘decacorn’, ‘one stop super apps’ yang terbesar di Asia Tenggara. Gojek mendapat suntikan dana berbilion dolar daripada pelabur JD, Tencent, Google dan Temasek Holdings. Ia telah melebar sayapnya ke Thailand, Singapura dan Vietnam. Ia dijuluk sebagai Karya Anak Bangsa yang mendunia. Pasca PILPRES 2019 lalu, Nadiem Makarim telah dilantik sebagai MENDIKBUD dan yang terbaru, beliau dinobat sebagai ‘Time 100 Next’. Seorang pemimpin masa depan yang dijanjikan Bapak Jokowi.


Isu yang ingin dibangkitkan dalam artikel ini adalah lanjutan daripada mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Ogos 2019 yang lalu. Menurut YB Menteri Belia dan Sukan, “Pada hari ini Kabinet sebulat suara meluluskan model ekonomi Gojek atau pun Dego Ride. Kita ikhlas ingin memastikan golongan mat motor mendapat peluang pekerjaan puluhan ribu. Pada masa yang sama kita ingin membantu pakcik dan makcik yang mengendalikan warung sedia ada menjual barang mereka melalui servis Gojek”.

Persoalannya, apakah sebenarnya yang mahu dibawa? Adakah model bisnes Gojek atau GoRide sahaja? Mengapa pada beberapa hari lalu, Raditya Wibowo (Ketua Pengangkutan Gojek) mengatakan, “Riding a Gojek for the first time can be a scary experience, so we need a solution that can be received well by the customers and riders in Malaysia”. Berdasarkan hasrat tersebut, apa yang ingin dibawa lebih tertumpu hanya kepada GoRide sahaja.

Lebih awal dari itu, Gojek telah meluaskan bisnes ke arena ASEAN iaitu Vietnam (Go-Viet), Singapura (Gojek Singapore) dan Thailand (GET). Sekiranya diteliti, negara-negara tersebut mengadaptasi servis tertentu sahaja. Sebagai contoh, Go-Viet menawarkan tiga servis iaitu GoBike, GoSend dan GoFood. Singapore pula hanya mempunyai satu service iaitu GoCar. Filipina menolak Gojek kerana gagal memenuhi kriteria pemilikan domestik.

Apakah Malaysia mahu daripada servis Gojek? Adakah ia berbeza dengan Dego Ride? Dego Ride, kearifan tempatan dari Johor merupakan perkhidmatan teksi motosikal untuk mengangkut penumpang dan penghantaran barang. Pernah beroperasi sekitar tahun 2016 dan diharamkan oleh Kementerian Pengangkutan pada tahun 2018. Dego Ride dikatakan menyalahguna Lesen Kenderaan Motor. Kemudian, ia telah mendapat lampu hijau dari kerajaan pada bulan Ogos lalu.

Menurut pengasasnya Nabil Feisal Bamadhaj, Kementerian Pengangkutan telah meluluskan perkhidmatan Dego Ride secara kasar dengan syarat menggunakan ‘rider’ lama tahun 2016. Banyak pertimbangan yang perlu diambil kira dari aspek keselamatan dan regulasi. Hal ini bermakna, Dego Ride mula mendapat kembali perhatian Kerajaan setelah cadangan Menteri Belia dan Sukan untuk menjemput Gojek beroperasi di Malaysia.

Sebagai rekod, buat masa ini, terdapat 44 buah syarikat e-hailing yang lulus beroperasi di Malaysia. Bukan hanya Grab, Mycar, FoodPanda, BungkusIt, tapi juga Zeppon, Tutucars, Pisang, GoJo dan BitCar. Sebenarnya, isu yang paling ketara ialah perkhidmatan teksi motosikal untuk mengangkut penumpang bukan penghantaran makanan dan barangan. Adakah servis mengangkut penumpang dengan menggunakan motor satu budaya bisnes yang boleh diterima oleh rakyat Malaysia?

Berita Harian pernah mengadakan survey dalam talian di Facebook dan Twitter pada 21 Ogos lalu dan mendapati 59.5 peratus (8093 orang responden) tidak bersetuju dengan Gojek. News Straits Times juga mengadakan survey di Facebook pada 23 Ogos dan mendapati 65 peratus tidak menyokong Gojek. Meskipun tiada perincian faktor penolakan namun banyak komentar diberikan berkait dengan isu budaya, keselamatan dan kontradik dengan misi pengangkutan awam.

Statistik menunjukkan 4,128 daripada 6,284 kes kemalangan maut di Malaysia membabitkan motosikal pada tahun 2018. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) belum mengemukakan laporan kajian ‘proof of concept’ mengenai perkara ini. Selain itu, Malaysia juga dikenali sebagai ‘car dependent society’ dan masih belum mengoptimumkan sepenuhnya fungsi pengangkutan awam darat.

Peningkatan penggunaan kereta dan motosikal akan menghalang usaha untuk melaksanakan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon, penggunaan bahan api dan karbon yang tinggi. Tambahan pula, unjuran menunjukkan kadar urbanisasi akan mencecah 80 peratus pada tahun 2030. Oleh itu, keadaan ini dilihat regresif dan tidak mencerminkan perubahan ke arah status negara maju. Walau bagaimanapun, perkhidmatan e-panggilan ini tidak menafikan pertambahan peluang kerja khususnya dalam kalangan anak muda dan golongan B40.

Satu lagi aspek penting ialah budaya dan nilai masyarakat atau juga diistilahkan sebagai ‘socio culture’. Elemen ini sangat penting dalam pembentukan model dan pemasaran bisnes di Malaysia. Kebiasaannya, sesuatu syarikat bisnes akan mengkaji enam faktor dalam menentukan kebolehpasaran bisnes iaitu PESTLE. Politik, Ekonomi, Sosial, Teknologi, Perundangan (Legal) dan Ekologi. S untuk sosial merangkumi banyak aspek seperti agama, kaum, jantina, umur, tahap pendidikan dan sikap terhadap sesuatu isu.

Dego Ride, Gojek dan lain-lain syarikat yang menawarkan servis mengangkut penumpang dengan menggunakan motor perlu untuk memahami faktor sosio budaya ini. Lelaki dan perempuan bukan muhrim, budaya masyarakat Melayu, keselamatan diri dari jenayah cabul dan rogol pasti akan menjadi pertimbangan utama. Kita bersedia untuk menempuh arus tranformasi digital ekonomi tetapi dengan nilai budaya rakyat Malaysia.

AHMAD FADHLI SHAARI,
Ahli Parlimen Pasir Mas. – HARAKAHDAILY 27/11/2019

Advertisement