Kelantan pembekal utama daging halal

Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail merasmikan Rumah Sembelihan Arnab.

KOTA BHARU: Kelantan bakal menjadi pembekal utama daging halal bagi pasaran tempatan dan antarabangsa menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di Qatar.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Mohd Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, syarikat terbabit Oryx Venture Sdn Bhd akan mengusahakan penternakan lembu, kambing dan biri-biri di kawasan seluas 100 ekar di Kampung Pek Machang.

“Syarikat terbabit sudah memulakan kerja-kerja penyediaan makanan ternakan seperti rumput dan jagung.

“Insya-Allah sasaran mereka pada 2022 dapat memasarkan daging ternakan tersebut,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sangkar Arnab dan Perasmian Rumah Sembelihan Arnab di Kampung Buloh Poh di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan Anuar al Sadat Nor dan Pengerusi Persatuan Penternak Arnab Pedaging Kelantan, Mohd Isyraf Syarafi Baharum.

Hadir sama Setiausaha Majlis Tindakan Dun (MTD) Kadok Abdul Aziz Mohamad. – HARAKAHDAILY 27/11/2019