Keluarga diseru teladani sifat raja’ Imran dan Hana

TAMBUN: Berdoa dengan penuh rasa kebergantungan kepada Allah S.W.T memohon beroleh zuriat soleh serta mendapat kehidupan yang dirahmati-Nya perlulah menjadi amalan dalam membina keluarga bahagia.

Advertisement

Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri memetik kisah pujian Allah di dalam al-Quran mengenai keluarga pasangan Imran dan Hana yang tidak pernah jemu berdoa agar dikurniakan zuriat.

Akhirnya cerita beliau, Allah makbulkan doa mereka setelah lama menanti kelahiran cahaya mata dengan mengurniakan anak bernama Maryam yang di kemudian hari merupakan ibu kepada Nabi Isa A.S.

Pesanan tersebut dititipkan beliau ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SRITI Al-Istiqamah, Meru Raya, di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, pentingnya amalan doa tersebut bukan sahaja sebagai ubudiyah seorang hamba, tetapi juga memohon perlindungan agar anggota keluarga sentiasa dalam jagaan Allah dalam segenap perkara.

Ustaz Hafez telah menyempurnakan penyampaian anugerah pada majlis tersebut di mana Muhammad Athoullah Muhammad Syawal Rizal telah dinobat sebagai Tokoh Pelajar setelah mendapat tempat pertama peperiksaan.

Manakala Ahmad Syahmi Amin Ahmad Zulfadli di tempat kedua dan Farah Jabeen Haider Ali Raza tempat ketiga, manakala Anugerah Khas Adiwira yakni terbaik kokurikulum kepada Muhammad Hariz Rusydan Mahadi.

Pengerusi SRITI Al-Istiqamah, Ustaz Mohd Fariq Izwan Md Baharin berharap orang ramai terus menyokong usaha pembangunan sekolah yang boleh disalurkan ke akaun Bank Rakyat 110441005292 atas nama SRITI Al-Istiqamah Resources. – HARAKAHDAILY 27/11/2019