Kem Anak Hebat sedarkan kepentingan solat

KEPALA BATAS: Kem Anak Hebat 2.0 anjuran HELWA Dun Penaga melibatkan 70 peserta telah dilaksanakan dengan jayanya di Masjid Al-Fateh Permatang Keriang, Penaga, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Program dengan kerjasama Masjid Al-Fateh ini telah dirasmikan Pengerusi Masjid, Riduan Osman dan dihadiri Imam Masjid, Ustaz Khizral Firdaus serta wakil Adun Penaga, Mohd Ridzwan Ahmad.

Kem disertai peserta berumur 7 hingga 12 tahun ini telah dipimpin Ustazah Yuzihazra Ibrahim yang memfokus teori dan pemahaman amali wuduk, rukun, praktikal dan bacaan-bacaan di dalam solat.

Penglibatan sepuluh fasilitator yang berpengalaman dalam membentuk Latihan Dalam Kumpulan(LDK) juga telah membantu menjayakan objektif kem dengan lebih efektif.

Setiap peserta diajar cara betul mengambil wuduk dan bacaan dalam solat serta diperhalusi dengan tertib mengikut rukun, selain, diberi modul sebagai alat bantuan rujukan agar lebih memahami bab diajar fasilitator.

Peserta turut mengikuti motivasi ‘Siapa Diri Saya?’ oleh Ustazah Nurul Aliyatur Rafieah Mohamad yang mengupas cara membentuk kehebatan diri dengan mengubah kebiasaan salah kepada tindakan betul.

Katanya, konsep mudah ini sering dipandang enteng oleh manusia kerana sikap yang tidak mahu berubah dan sentiasa berminda negatif, sedangkan ada pengidap Cerebral Palsy mampu hafaz Quran.

Beliau mengambil contoh Tokoh Hafiz Cilik, Naja Hudiya sebagai model teladan dan pencetus semangat buat peserta di mana menghafaz 30 juzuk al-Quran walaupun lumpuh otak sejak kecil lagi.

“Tidak menjadikan alasan kekurangan dan kelemahan untuk tidak boleh menjadi seorang anak yang hebat kerana anak-anak sememangnya dilahirkan dengan kehebatan masing-masing kurniaan Allah,” titipnya.

Kem Anak Hebat ini telah dirasmikan penutupannya oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Kepala Batas, Bukhori Ghazali yang berharap kesedaran anak-anak dan ibu bapa mengenai kepentingan solat diterap sedari awal. – HARAKAHDAILY 27/11/2019