PAS, MIC Selangor adakan pertemuan

    SHAH ALAM: PAS Selangor dan MIC Selangor julung kalinya mengadakan pertemuan mahabah di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor di sini, semalam selepas permeteraian Muafakat Nasional pada 14 September lalu.

    Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tujuan pertemuan diadakan sebagai sesi perkenalan antara Jawatankuasa Harian MIC Selangor dan PAS Selangor.

    Kedua-dua pihak maklumnya, merancang mengadakan persamaan program bagi mengeratkan lagi persefahaman antara satu sama lain.

    Menjawab pertanyaan wartawan mengenai penerimaan Muafakat Nasional di Selangor jelasnya, manifestasi tersebut semakin diterima rakyat selepas kejayaan pembangkang dalam beberapa siri PRK.

    “Saya ingat kita dah mulakan walaupun secara awalnya dulu PAS dan Umno dah mulakan di Sungai Kandis, kemudian PRK demi PRK.

    “Kita buktikan bahawa dengan permuafakatan ini, memberikan impak yang baik kepada kerjasama antara PAS dan Gagasan Sejahtera dan BN, (PRK) Semenyih membuktikan,” ulasnya menyifatkan keputusan Muafakat Nasional sebagai satu keputusan tepat kerana penerimaan rakyat yang kian memberangsangkan.

    Selain kejayaan PRK di Semenyih, pakatan pembangkang meraikan kemenangan di Cameron Highland, Rantau dan Tanjung Piai.

    Advertisement

    Manakala Pengerusi MIC Selangor, MB Raja berkata, akar umbi MIC di Selangor menyambut baik kerjasama Muafakat Nasional antara PAS dan rakan pakatan BN-Umno.

    Ujarnya, pendekatan ini berperingkat menarik sokongan kaum India di Selangor untuk menyertai MIC yang rata-ratanya kesal dengan sikap kerajaan PH yang tidak menunaikan janji manifesto.

    “Sekarang kita boleh nampak daripada PH daripada PKR di kawasan saya di Parlimen Selayang diketuai oleh dua Ketua Cabang. Salah seorang daripadanya memberitahu kepada saya tolong benarkan anaknya untuk menubuhkan cawangan MIC.

    “Daripada situ kita tahu mereka benar-benar nak kembali. Begitu juga, beberapa ahli perniagaan dulu tidak percaya kepada MIC sekarang dia kata dia nak jadi ahli MIC,” kata Raja.

    Dalam pada itu, beliau berbesar hati mengundang PAS Selangor ke jamuan makan malam MIC Selangor yang akan diadakan dalam masa terdekat ini. – HARAKAHDAILY 27/11/2019