AMAL Kemaman bantu operasi SAR orang hilang

KEMAMAN: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Kemaman turut serta menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) orang hilang bersama PDRM dan Bomba di Kertih, di sini pagi ini.

Advertisement

Komandan AMAL Kemaman, Mohd Asmadi Abdullah memberitahu, seramai 14 anggota terlibat dalam operasi yang telah menemui kejayaan selepas sejam operasi hari kedua dilancarkan.

“Menurut sumber pihak Berkuasa, seorang lelaki Melayu berusia 59 tahun telah melarikan diri ke dalam hutan berhampiran Kampung Batu Putih, pada malam hari Jumaat lalu.

“Kereta mangsa ada dijumpai dan telah ditinggalkan di kaki lima jalan berhampiran hutan, tumpuan operasi kita bertumpu di sekitar ini.

“Berikutan laporan Polis oleh pihak keluarga, PDRM dan Bomba telah melancarkan SAR yang turut disertai oleh Unit Anjing Pengesan (K9) bermula hari semalam,” ujar beliau.

Menurutnya juga, usaha SAR akhirnya menemui kejayaan apabila mangsa ditemui pagi ini berhampiran belukar tidak jauh dari tempat kereta mangsa ditinggalkan.

“Walaupun tempoh SAR sekadar memasuki hari kedua dan beroleh kejayaan, kemampuan petugas AMAL di lapangan adalah setanding dengan agensi SAR kerajaan yang lain,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 28/11/2019