Assabiqun raikan Assabiqun Johor

hAJI sUBKYberucap pada Majlis Hari Assabiqun Negeri Johor.

SEKITAR 500 orang warga Assabiqun termasuk Assabiqun Umno yang dikenali anggota Kelab Veteran Umno menjayakan Hari Assabiqun Johor yang diadakan di laman rumah veteran Umno yang dijadikan PDM Rimba Terjun di kawasan PRK Parlimen Tanjung Piai dua hari sebelum hari membuang undi di PRK itu.

Advertisement

Ia dikira perhimpunan setengah hari yang berjaya kerana Sidang Assabiqun Tanjung Piai tidak kuat dan PAS kawasan di situ pun tidak kuat.

Johor adalah negeri kedua menyambut Hari Assabiqun selepas ia dilancarkan di peringkat nasional di Ketereh, Kelantan pada Oktober lalu. Negeri pertama Pulau Pinang dan kedua Johor.

Johor mulanya menjadualkan sambutan hujung November di Batu Pahat. Kerana berlangsung PRK Tanjung Piai pada 16 November, maka PAS Pusat minta disegerakan bagi membolehkan penyokong dari seluruh negara yang membantu calon Piagam Muafakat Nasional boleh meramaikan perjumpaan itu.

Assabiqun Johor seperti Kelantan dapat mengadakan seekor lembu bagi menjamu sekalian yang hadir, bahkan mereka juga menghidangkan masak kicap kambing kepada tetamu. Jamuan itu adalah sumbangan penyokong PAS bagi merai dan mengenang jasa warga Assabiqun yang pernah menyumbang dan tenaga dan wang ringgit dalam perjuangan PAS semasa mereka muda dulu.

Sekarang mereka sudah berusia lanjut dan ramai yang uzur, tidak dapat cergas lagi dalam parti tetapi masih istiqamah dalam perjuangan Islam. Bagi mengelakkan mereka terbiar dan ketinggalan dari arus perdana politik, maka ditubuhkan Sidang Assabiqun, bagi mengambil tahu masalah dan keperluan mereka.

Yang benar-benar perlu dipedulikan ialah yang berusia 60 tahun ke atas. Tetapi penyakit tidak mengenal usia, bahkan yang 50-an ramai yang uzur. Bagi yang di bawah 60 tahun juga perlu mendapat perhatian, maka yang 50 tahun ke atas layak menyertai kelab orang lama yang dipanggil Assabiqun.

Sebagai kegiatan awal untuk mengumpulkan sekalian warga Sidang Assabiqun itu, dianjurkan Hari Assabiqun supaya para jasawan itu dapat bertemu antara satu sama lain dan sekali gus sekalian penyokong parti dari semua lapisan turun beramai-ramai merai dan mengenang para pejuang lama itu.

Tetapi warga PAS keliru dengan kegiatan, menyangkanya ialah majlis untuk para pak-pak tua saja, maka masing-masing mengira mereka tidak terlibat. Jadi dalam sambutan di Pulau Pinang dan Johor yang hadir ialah warga Assabiqun yang diraikan saja.

Pemuda, muslimat, ulama yang masih cergas tidak nampak.

Tujuan Hari Assabqun itu adalah bagi meraikan para jasawan itu. Dengan yang hadir hanya yang layak masuk kelab orang itu, maka Assabiqun saja yang meraikan Assabiqun atau mereka meraikan diri mereka sendiri.

Maklumat tidak sampai kepada warga PAS, maka yang terjadi Hari Assabiqun jadi eksklusif kepada warga Assabiqun saja.

Jika masing-masing memahami sasaran Hari Assabiqun itu, Hari Assabiqun Pulau Pinang nescaya di hari itu bukan sekadar 200 orang dan Hari Assabiqun Johor tidak sekadar 500 saja hadir. Jika sekalian penyokong parti memahami tujuannya, tiga empat ekor lembu dan kerbau pun tidak cukup.

Bagaimanapun jasawan yang hadir itu adalah permulaan dan tiba harinya nanti Sidang Assabiqun jadi tenaga yang penting bagi menyuburkan PAS yang kini sudah memacak bendera Piagam Muafakat Nasional. Tidak perlu menunggu kiamat bagi PAS dan Umno berada di Putrajaya. – HARAKAHDAILY 28/11/2019