Beza MCA dalam BN dan DAP dalam PH

ADA perbezaan yang besar antara MCA dalam BN dan DAP dalam PH.

1.     Barisan Nasional (BN) ada Perlembagaan sendiri. Parti-parti komponen terikat dengan keputusan gabungan. Tindakan tatatertib boleh dikenakan kepada ahli yang tidak mematuhi Perlembagaan.

2.     Pakatan Harapan (PH) adalah gabungan yang longgar. Tiada Perlembagaan, hanya perjanjian. Tidak hairanlah sesama ahli Kabinet pun boleh bercanggah sesama sendiri. Tiada tindakan yang mengikat boleh diambil, melainkan dengan membatalkan perjanjian.

3.     Dalam Dewan Rakyat sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, MCA dan MIC, masing-masing hanya ada seorang wakil iaitu DS Dr Wee Ka Siong dan Datuk Seri M. Savaranan.

4.     Perlu diingat, sebagai negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, Parlimen Malaysia juga menggunapakai sistem whip.

5.     Ahli parti tidak dibenarkan mengundi mengikut pandangan atau idealogi peribadi. Ahli parti wajib mengundi mengikut keputusan parti atau Ketua Whip boleh mengambil tindakan pada ahli yang tidak mengikut ketetapan. Ahli yang tidak bersetuju dengan keputusan parti perlu meletakkan jawatan.

6.     Hal ini bermaksud, kerusi dalam Dewan Rakyat adalah kerusi parti atau gabungan, bukan kerusi individu. Kerana itulah, perbuatan PAN yang membawa lari kerusi yang dimenangi atas tiket PAS adalah tercela di sisi agama dan prinsip demokrasi yang mereka anuti.

7.     PAS menentang perbuatan khianat itu. Tapi, masih boleh menerima dan menghormati apabila dalam PRU-14, PAN menang kerusi atas manifesto dan tanggungjawab sendiri.

8.     Individu MCA dan DAP mungkin banyak persamaan daripada segi kepentingan kaum, sama seperti PAS berkongsi pendirian yang sama dengan Umno dan Bersatu dalam isu Islam dan orang Melayu.

9.     Namun, suara MCA dalam BN atau Muafakat Nasional tidak sedominan dan sesignifikan DAP dalam PH. Pandangan MCA yang menentang RUU 355, lebih-lebih lagi dalam keadaan BN tidak memegang tampuk pemerintahan, tidak akan membawa kesan yang signifikan kepada usaha-usaha PAS untuk menegakkan hukum Islam.

10.     Ejekan-ejekan yang mengatakan PAS wala’ kepada MCA hanya menyerlahkan ketidakmatangan memahami politik realiti dalam konteks Malaysia, kebanyakannya datang dari perasaan ‘bagus’ menganalisis politik dari portal berita, tanpa mengalami sendiri penglibatan, perbincangan dan negosiasi politik di belakang tabir yang biasanya menjadi rahsia dan strategi parti.

11.     Keterbukaan PAS kepada MCA sebenarnya hanya menunjukkan sikap PAS yang praktikal tapi masih berprinsip, seperti yang selalu ditekankan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang supaya orang Islam bersatu tanpa meninggalkan kaum lain. – HARAKAHDAILY 28/11/2019


Advertisement