Hak milik 999 tahun: DAP menyalakan perkauman

DESAKAN DAP supaya Kerajaan Negeri Perak memberikan hak milik kekal tanah Kampung Baharu jelas menjadi suatu tuntutan yang bersifat perkauman. Biarpun merupakan anggota kerajaan di negeri ini, tetapi DAP menyerlahkan kedudukannya apabila hanya mengangkat kepentingan satu bangsa.

Ini menunjukkan DAP langsung tidak berjiwa kerajaan, sebaliknya lebih mengejar kepentingan politik semata-mata. Rakyat keseluruhan tidak mungkin akan mendapat hak dan pembelaan dengan sentimen seperti ini. Bayangkan bagaimana sekiranya DAP yang mengetuai Kerajaan Negeri ini?

Tidak mustahil terjadi keadaan seperti di Pulau Pinang yang diterajui DAP apabila atas nama pembangunan bertindak mengambil tanah diduduki rakyat sendiri hingga akhirnya penduduk terusir secara halus. Kini di Perak, janji Manifesto PH PRU14 dijadikan alasan untuk DAP mengasak tuntutan itu.

Jika demikian, mengapa tidak tuntutan sama disuarakan terhadap banyak janji Manifesto PH Perak itu yang dimungkiri sehingga kini melibatkan lima teras. Terutama sepuluh dasar tumpuan berkaitan kebajikan untuk rakyat miskin dan kurang upaya yang kini sepi hilang ke alam ghaib?

Sebaliknya, DAP terus mendesak hak milik tanah secara pajakan 999 tahun yang ternyata ekstrem kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan Majlis Tanah Negara menetapkan pegangan pajakan sekurang-kurangnya 60 tahun, tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Oleh itu, atas keistimewaan apakah hingga DAP mahu menuntut tempoh selama itu yang tidak terjangkau oleh usia normal untuk sekalipun tujuh keturunan manusia? Terang bersuluh, ini hanyalah antara ciri minda Komunis dan rejim penjajah, bukannya kerajaan yang mensejahterakan hidup rakyat.

Kami yakin, rakyat semakin nampak haloba dan sikap menguasai secara mencengkam oleh DAP yang menjadi sebab banyaknya kucar-kacir dalam urus tadbir negeri bahkan negara mutakhir ini. Tiada sebarang prestasi dicapai melainkan masyhur polemik dan sengketa sesama mereka sendiri.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak/
ADUN Gunung Semanggol – HARAKAHDAILY 28/11/2019

Advertisement