Sukan SEA Manila: Selamat berjuang atlit Malaysia

SUKAN SEA MANILA 2019 bakal menjadi tumpuan seluruh Asia Tenggara dengan membuka tirai secara rasminya pada 30 November 2019 ini.

Kontinjen negara kali ini diwakili 773 atlit dan 339 pegawai yang akan mengambil bahagian dalam 52 daripada 56 jenis sukan yang dipertandingkan.

Advertisement


Berbekalkan reputasi tinggi sebagai Juara Bertahan di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, pihak Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengumumkan sasaran 70 pingat emas dalam satu majlis baru-baru ini.

Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS), Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan sasaran tersebut adalah realistik berdasarkan pencapaian terbaik kontinjen negara di luar Kuala Lumpur adalah sebanyak 68 pingat emas.

Temasya Sukan Sea 2007 yang berlangsung di Korat, Thailand tersebut dijadikan sandaran utama tetapi tetap berazam muncul sebagai pasukan terbaik setelah melakukannya dua tahun lepas di Kuala Lumpur.

Walaupun Sukan Sea Korat 2007 menyaksikan Malaysia muncul Naib Juara di belakang tuan rumah, Thailand namun tetap kurang serinya apabila pasukan bola sepak sekadar mengakhiri saingan di tempat ketiga kumpulan sahaja.

Ianya juga sebagai menebus kekecewaan  menanggung kekalahan kepada Thailand 0-1 dalam perlawanan akhir di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 yang mana kali terakhir pasukan bawah 23 tahun mendapat pingat emas pada tahun 2011 dan pertama kalinya pada tahun 2009.

Biarpun perlawanan pertama sekadar seri 1-1 dengan pasukan Myanmar, DACS Malaysia optimis dan berkeyakinan tinggi pasukan yang dibarisi pemain-pemain muda yang berpotensi menyengat termasuklah pemain pasukan bawah 18 tahun negara yang turut bermain dalam perlawanan Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Phnom Penh, Kemboja.

Marilah sama-sama kita seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan buat keseluruhan kontinjen negara Malaysia agar segala usaha mereka membuahkan hasil yang diharapkan kita semua dan seterusnya mencapai sasaran yang ditetapkan.

DACS Malaysia mewakili seluruh kepimpinan dan anak muda mengucapkan selamat berjuang kepada atlit dengan saranan agar sentiasa berusaha ke arah menjadikan sukan suatu ibadah. Sukan yang menyihatkan tubuh badan sangat dituntut dalam Islam.

“Fit It Sunnah”
“Sukan Satukan Kita”

HAFEZ SABRI
Ketua Pengarah DACS Malaysia
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 28/11/2019