Tommy wajib lucut diri urus kes Chin Peng

SELAKU seorang Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas seharusnya bersikap profesional serta memisahkan pendapat peribadi dari tugas rasmi.

Ini tidak kelihatan berlaku dalam isu abu mayat Chin Peng yang dibawa balik ke Malaysia sehari dua ini di mana beliau nampak emosional menguruskannya.

Jawapan Peguam Negara seharusnya merupakan jawapan rasmi bukan jawapan semberono melalui portal berita seperti Malaysia Kini sahaja.

Soalan yang ditanya oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, adalah mudah: Apakah Tan Sri Tommy Thomas menggunakan kedudukannya sekarang sebagai Peguam Negara untuk menjayakan perjuangan anak guamnya?

Tan Sri Tommy Thomas dalam jawapannya bagaimanapun melalut dengan menyebut mengenai bagaimana Chin Peng juga mempunyai hak untuk mendapatkan khidmat guaman daripada mana-mana pihak, termasuk beliau sendiri.

Bagi saya, tiada siapa pun boleh mempertikaikan hak Chin Peng untuk mendapatkan khidmat guaman daripada mana-mana pihak dan Tan Sri Tommy Thomas juga tidak harus dikritik atas khidmat guaman beliau itu.

Begitupun, yang kami pertikaikan bukanlah khidmat guaman yang Tan Sri Tommy Thomas beri kepada Chin Peng tetapi pandangan peribadinya terhadap Chin Peng yang tidak selari dengan pandangan rasmi kerajaan, iaitu:

(i)     “Posterity will remember Chin Peng as one of the great liberation fighters of the second half of the 20th century.” (“Generasi akan datang akan mengenang Chin Peng sebagai salah seorang pejuang pembebasan besar dalam suku kedua abad ke-20.”)

(ii)     “We hope that the true history of merdeka would be be researched and published in the coming decades.” (“Kita berharap bahawa sejarah sebenar merdeka akan dikaji dan diterbitkan dalam abad-abad akan datang.”)

(iii)     “We are confident that in such an endeavour, Chin Peng will take his rightful place as a major national icon.” (“Kita yakin bahawa dalam usaha ini, Chin Peng akan mengambil tempatnya yang sebenar sebagai salah seorang ikon besar negara”.)

(iv)     “I hope the Malaysian Government will be compassionate in permitting Chin Peng’s burial in his motherland.” (“Saya harap Kerajaan Malaysia akan berperikemanusiaan untuk membenarkan Chin Peng dikebumikan di tempat kelahirannya.)

Jelas bahawa pandangan peribadi ini tidak didasarkan kepada undang-undang, tetapi kepada perasaan, harapan, keyakinan dan perikemanusiaan semata-mata, sedangkan mengikut undang-undang semua ini perlu diketepikan.

Bolehkah Tan Sri Tommy Thomas memberikan satu jaminan tegas bahawa beliau selaku seorang Peguam Negara akan bersikap profesional serta memisahkan pendapat peribadi yang bermasalah ini dari tugas rasmi beliau?

Disebabkan pendapat peribadi yang dipunyai oleh Tan Sri Tommy Thomas dalam isu abu mayat Chin Peng yang dibawa balik ke Malaysia, maka saya mendesak beliau melucutkan diri dari menguruskan siasatan dan pendakwaan atas kes ini.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 28/11/2019

Advertisement