Wajib laksana pertahanan HANRUH

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melaksanakan konsep pertahanan menyeluruh (HANRUH) bagi memastikan negara benar-benar bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya ancaman dan peperangan.

Advertisement

Ia juga secara tidak langsung membentuk rakyat negara ini menjadi lebih patriotik dan menjadikan keselamatan negara sebagai satu keutamaan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, konsep HANRUH atau ‘total defence’ sebenarnya tidak asing lagi di negara ini kerana ia telah diperkenalkan pada tahun 1984.

Namun kerajaan dilihat tidak serius sehingga menyebabkan isu keselamatan negara dilihat terabai dan terpikul di atas bahu pihak berkuasa semata-mata.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat hari ini.

“Jika kita lihat di Singapura, konsep ‘total defence’ ini benar-benar dilaksanakan sehingga seluruh anggota masyarakat merasai kewajipan untuk mempertahankan negara sekiranya berlaku apa-apa ancaman.

“Namun di Malaysia, dalam isu pembinaan projek-projek utama, saya tidak nampak tentera diambil pandangan mereka sebelum ia dibina,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan adakah bangunan-bangunan dan jalan raya di negara ini juga khususnya di lokasi strategik turut bersedia untuk digunakan jika berlaku peperangan.

Perbahasan beliau juga turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman yang bangun memohon penjelasan apakah kesiapsiagaan negara ini sekiranya berlaku peperangan.

Untuk rekod, konsep HANRUH yang merupakan singkatan bagi Pertahanan Menyeluruh merupakan salah satu intipati asas di dalam Dasar Pertahanan Negara.

Ia merupakan satu konsep pertahanan yang menggemblengkan peranan aktif agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat jelata dalam mempertahankan kedaulatan dan keutuhan negara.

Bagaimanapun, katanya, pada tahun 1990-an usaha-usaha untuk melaksanakan konsep HANRUH dimulakan tetapi tidak dapat direalisasikan.

Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada September 2006 telah memutuskan konsep ini direalisasikan dan Majlis Keselamatan Negara merupakan agensi pelaksana bagi tujuan ini. – HARAKAHDAILY 28/11/2019